Korea Selatan Bakal Guna 'Gelang Elektrik' Bagi Elak Langgar Kuarantin?

TERKINI
April 09, 2020 - 03:44 PM


Sebelum ini, Korea Selatan mewajibkan kuarantin sendiri selama dua minggu kepada semua individu yang baru tiba dari luar negara.

Bagi memantau pergerakan mereka yang perlu mengkuarantinkan diri sendiri, ketika ini Kerajaan telah menggunakan aplikasi telefon bimbit untuk mengesan kedudukan mereka supaya mematuhi arahan tersebut.

Namun malangnya, masih banyak kes dilaporkan apabila penduduk dikesan meninggalkan telefon mereka di rumah atau mematikan fungsi sistem pengesanan lokasi GPS masing-masing.

Setakat ini, seramai 75 individu didapati mencabuli peraturan itu dengan 6 daripadanya sudah ditahan untuk siasatan lanjut.

Kira-kira 46,566 orang termasuk lebih 36,000 yang baru tiba dari luar negara, kini diarahkan mematuhi garis panduan kuarantin sendiri. Jumlah itu dijangka meningkat sehingga lebih 80,000.

Justeru, bagi mengambil langkah lebih tegas -- Korea Selatan kini sedang mempertimbangkan untuk menggunakan gelang elektrik bagi menghalang mereka yang dikuarantin daripada keluar rumah.

Meskipun pilihan penggunaan gelang itu bakal menimbulkan sentimen negatif, namun ia terpaksa juga dilakukan sekiranya kaedah itu berkesan sejajar dengan garis panduan kuarantin. 

Ini berikutan kebimbangan Korea Selatan terhadap mereka yang disyaki dijangkiti COVID-19 keluar dari lokasi kuarantin masing-masing dan menyebarkan virus itu kepada komuniti tempatan.

Bermula Ahad, kerajaan turut meningkatkan hukuman terhadap mereka yang melanggar peraturan atau memberi maklumat palsu ketika proses kuarantin. Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda 10 juta won (US$8,172).

Sehingga hari ini, Korea Selatan merekodkan 39 kes baharu menjadikan keseluruhan kes berjumlah 10,423 dengan 204 kematian.

Sumber:Bernama

 

Destination: