Penjara Maksimum Setahun & Denda RM30,000 Jika 'Mudik' Aidilfitri Di Indonesia

PANAS
April 22, 2020 - 04:17 AM


Rakyat Indonesia yang didapati bersalah “mudik” atau balik ke kampung bagi menyambut Aidilfitri boleh dikenakan hukuman penjara dan denda.

Perkara itu dinyatakan oleh Direktor Jeneral Perhubungan (Pengangkutan) Darat, Budi Setiyadi yang mengumumkan larangan bermudik itu berkuat kuasa 24 April ini.

Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman maksimum penjara setahun dan denda maksimum Rp100 juta (hampir RM30,000).

Semalam, Presiden Indonesia Joko Widodo mengumumkan rakyat negara itu dilarang ‘bermudik’ atau balik kampung bagi menyambut Aidilfitri, dalam usaha menangani penularan pandemik COVID-19.

Kes positif di Indonesia terus meningkat kepada 7,315 dan sudah menular ke semua 34 provinsi di Indonesia, dengan jumlah kematian bertambah kepada 616 orang.

"Mudik semuanya akan kita larang," kata Jokowi di Istana Presiden Jakarta, dalam siaran langsung yang disiarkan YouTube rasmi Sekretariat Presiden. 

Sebelum ini, pemerintah Indonesia hanya menasihatkan agar orang ramai tidak bermudik dan larangan itu dikuatkuasakan kepada anggota polis, tentera dan penjawat awam sahaja.

Sementara itu, jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto berkata lebih 16,000 pesakit masih di bawah pengawasan. 

"Bagi tempoh 24 jam, dari 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, 26 lagi kematian dilaporkan, sebanyak 375 kes positif baharu, menjadikan jumlah kes 7,135 manakala 16,763 pesakit dalam pengawasan," katanya pada sidang media hariannya.

Sumber: Bernama

Destination: