Emirates Buat Penerbangan Harian Singapura-Pulau Pinang, Mulai April 2020
Syarikat penerbangan terbesar dunia, Emirates bakal melancarkan penerbangan harian antara Singapura dan Pulau Pinang, bermula 9 April ini.
Penerbangan tersebut akan menjadi destinasi kedua Emirates di Malaysia, selepas ia mengendalikan penerbangan tiga kali sehari ke Kuala Lumpur, laluan yang dikendalikannya sejak tahun 1996.
Dengan adanya penerbangan Emirates ke Pulau Pinang, ia diharap membolehkan para penumpang melakukan perjalanan dengan mudah antara kedua-dua bandar sambil menikmati khidmat syarikat penerbangan itu yang telah banyak memenangi anugerah antarabangsa, antaranya sebagai Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia.
Penerbangan EK 348 akan tiba di Singapura dari Dubai pada 2.05 petang sebelum berlepas ke Pulau Pinang pada 3.35 petang.
Penerbangan pulang EK 349 akan berlepas dari Pulau Pinang ke Singapura pada pukul 10.20 malam, sebelum meneruskan perjalanan ke Dubai pada 1.40 pagi keesokan harinya.
Penerbangan dibuat menggunakan pesawat Boeing 777-300ER, yang mempunyai 8 suite peribadi Kelas Pertama, 42 tempat duduk dalam Kelas Perniagaan dan 304 tempat duduk di Kelas Ekonomi.
Emirates memilih Pulau Pinang memandangkan negeri itu merupakan destinasi popular bagi percutian hujung minggu, 'short break', perjalanan perniagaan serta pelancongan perubatan.
Trend tersebut juga dijangka akan berterusan apabila jumlah perjalanan dilihat semakin meningkat sejajar dengan pertambahan bilangan pelawat ke 'Pulau Mutiara' itu.