Jom Naik Menara Taming Sari Bulan Ni, Ada Diskaun 30 Peratus!

August 16, 2019 - 05:20 PM


Menara berputar yang menjadi ikon pelancongan Melaka iaitu Menara Taming Sari menawarkan potongan harga sebanyak 30 peratus sepanjang bulan Ogos ini, sempena sambutan Bulan Merdeka.

Pengurus Besarnya, Dr Muhammad Md Nor berkata tawaran itu terbuka kepada semua pengunjung termasuk pelancong asing yang lahir pada bulan ini.

“Tawaran istimewa ini adalah sebagai tanda penghargaan kami selain bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan.

“Ia juga bagi mempromosikan lagi produk pelancongan berusia lebih sedekad ini sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad 3 Ogos lalu,”.

Selain diskaun, Menara Taming Sari turut mengadakan persembahan nyanyian dan silat daripada Institut Warisan Melaka (INSWA) setiap hari Jumaat hingga Ahad.

Persembahan diadakan bermula jam 5 petang hingga 11 malam di Pentas Relax & Chill menara tersebut.

Tahun ini, Melaka menyasarkan kehadiran seramai 550,000 pengunjung ke menara berpusing berkenaan.

Setakat ini, Menara Taming Sari telah mencapai 50% daripada sasaran tersebut apabila mencatatkan sejumlah 252,000 pengunjung sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini.

MENARA TAMING SARI

Alamat: Jalan Merdeka, Bandar Hilir, 75000 Melaka

Waktu Operasi: Setiap Hari (10 pagi - 11 malam)

Harga Tiket Asal: RM17 (Dewasa) & RM11 (Kanak-Kanak)

Harga Tiket Selepas Diskaun: RM11.90 (Dewasa) & RM7.70 (Kanak-Kanak)

Sumber: Harian Metro