Fenomena Laut 'Terbelah' Di Langkawi Pukau 400 Pengunjung!
Lebih 400 pengunjung mengambil peluang menyaksikan sendiri fenomena 'laut terbelah' susulan kemunculan beting pasir sepanjang 600 meter di Pantai Tanjung Rhu, di sini hari ini.
Fenomena unik selama sejam mulai 7 pagi itu muncul sekali dalam setahun, selepas air laut di kawasan itu surut sehingga 0.1 meter.
Seorang pengunjung, Azliyanti Ahmad, 40, berkata dia tiba awal di kawasan itu bagi melihat kejadian yang jarang berlaku untuk dijadikan kenangan.
"Ia (kejadian) unik dan hanya berlaku sekali dalam setahun, jadi memang teruja sangat untuk datang ke sini dan berjalan santai di atas beting pasir.
"Kalau air pasang kawasan ini kedalamannya kira-kira 3.5 meter, tidak mungkin kita dapat melihat habitat hidupan marin," katanya ketika ditemui di sini.
Pemandu pelancong yang juga Pencinta Alam Sekitar, Zoher Mustan, 57, berkata kali ini air laut surut pada paras 0.1 meter, berbanding tahun lalu 0.0 meter.
"Ia berlaku setahun sekali dan mulai 7 pagi pengunjung boleh berjalan atas beting pasir sejauh 600 meter ke Pulau Chabang dan Pulau Kelam Baya.
"Ini antara keunikan di pulau legenda ini dan dinantikan penduduk tempatan serta pelancong yang mengetahuinya menerusi media sosial," katanya.