Pelumba Basikal Jepun Luah Rasa Kecewa Ingatkan Orang Malaysia Baik-Baik Semua
SUKANSikap kurang bijak netizen Malaysia yang beramai-ramai menghantar hantaran kurang sopan kepada pelumba Jepun, Shinji Nakano itu mencetus persoalan di hati pelumba berkenaan.
"Saya ingat orang Malaysia baik-baik."
Itu mesej yang dihantar Nakano kepada pelumba negara Shah Firdaus Sahrom selepas dia di serang 'tentera bawang' Malaysia di akaun media sosial milik pelumba Jepun itu.
Shah Firdaus menganggap tindakan itu sebagai memalukan nama Malaysia terutama kerana dia dan Nakano bersahabat selain mengakui permohonan maaf yang kononnya dari akaun Tik Tok pelumba Jepun itu sebenarnya palsu.
"Malam semalam dia mesej saya dan katanya dia kena serang di akaun media sosialnya. Bila saya tengok sudah berpuluh ribu komen.
"Saya harap netizen berhenti menyerang dia di akaun media sosialnya kerana ia menjejaskan kami juga," katanya.
Kata Shah Firdaus, Nakano memang menyatakan maaf tapi itu kepada dirinya.
"Itu bukan Tik Tok dia (Nakano), dia cakap itu dengan saya lepas perlumbaan, akaun Tik Tok biasalah, orang buat cerita. Tapi saya dengan dia OK sahaja, saya dengan dia tak ada masalah.
"Yang buat saya terasa, dia ingat orang Malaysia baik-baik sebab saya baik dengan dia. Kalau saya ke Jepun, dia bawa saya jalan semua. Bila dia berasa begitu, saya rasa serba salah.
"Dia mesej saya, dia ingat rakyat Malaysia baik-baik, saya macam malunya," kata Shah Firdaus.
Tindakan itu tercetus selepas insiden pelanggaran membabitkan Shah Firdaus ketika final acara keirin di Sukan Olimpik Paris 2024 sehingga menyebabkan Shah Firdaus kehilangan pingat gangsa.
Pelanggaran itu juga menyaksikan pelumba kelahiran Johor itu terbabit dengan kemalangan sehingga terpaksa dipapah keluar dari velodrom sejurus selepas tamat perlumbaan kerana mengalami kesakitan.
Rata-rata netizen Malaysia yang menyaksikan perlumbaan berkenaan di kaca televisyen menganggap Nakano yang menjadi punca Shah Firdaus kehilangan podium.
"Sebenarnya dia tak ada niat nak langgar saya. Memang berlaku (pelanggaran), ada body contact dan itu biasa dalam keirin dan dia tak berniat nak 'hentam' saya, itu sebab G-force.
"Bila ada body contact, G-force itu nampak seperti dia naik tetapi dalam keirin perkara itu biasa, tinggal jatuh atau tidak sahaja," kata Shah Firdaus.
Pada perlumbaan final keirin di Velodrom Saint Quentin en Yveline, Shah Firdaus dilihat berada di kedudukan terbaik untuk sekurang-kurangnya meraih gangsa sebelum berlaku pelanggaran dengan Nakano yang menyebabkannya terjatuh.
Shah Firdaus tidak dapat menamatkan perlumbaan sebelum terpaksa akur diturunkan kedudukan di tempat keenam. - Harian Metro