Wow! Datuk Nicol Ann David Bakal Terbitkan Biopik 'I Am Nicol David' Bersama ACE Pictures

June 08, 2021 - 05:04 PM


Perkara biasa apabila seorang ikon yang berjaya menempah nama di persada dunia serta membawa sekali nama negara diberikan penghormatan dengan sebuah biopik, mahupun biografi sendiri agar peminat, penyokong, serta mereka yang mengidolakan ikon tersebut dapat melihat liku-liku, pahit manis kehidupan seseorang yang sebegitu berjaya. 

Nama yang tidak asing dalam arena sukan negara, dan juga dunia, nama yang menggerunkan dalam bidang skuash, the living legend, Datuk Nicol Ann David kini bakal memiliki sebuah biopik penerbitan bersama ACE Pictures Entertainment. 

Datuk Nicol adalah antara atlit yang paling disegani generasi ini dengan 8 gelaran dunia, dan rekod 108 bulan berturut-turut sebagai pemain nombor 1 dunia, namun tidak banyak tentang kehidupan sebenar Datuk Nicol yang diketahui ramai, sehingga beliau mampu menjadi seorang lagenda sebegitu hebat. 

Anak syarikat ACE Holdings Berhad, ACE Pictures Entertainment kini di dalam misi untuk merungkai serta memberi inspirasi kepada orang ramai bukan sahaja rakyat Malaysia, malah mereka yang mengenali Nicol serata dunia, untuk mengenali kisah peribadi Nicol yang tidak pernah diketahui sebelum ini. 

Peter Wong, Presiden ACE Pictures berkata apabila mendengar tentang kisah hidup Nicol, ia memberikan sebuah sudut pandangan yang berbeza kerana Nicol bukanlah seorang atlit 'bawahan', namun sebaliknya sentiasa terpampang sisi dirinya yang bakal, akan, dan telahpun menjadi seorang ikon. Biopik Nicol bakal membawa kisah dedikasi seorang wanita yang perlu mengorbankan sesuatu, untuk berada di tempatnya hari ini. 

Menarik lagi, biopik 'I Am Nicol David' bakal diterbitkan di dalam bahasa Inggeris, dan bakal dibintangi seorang pelakon Hollywood, Australia Liz Irving, yang memegang watak jurulatih Nicol. Bagi watak Nicol sendiri pula, sebuah pencarian bakat bakal diadakan di seluruh negara. 

ACE Pictures dengan reputasi pembikinan filem advokasi kesaksamaan jantina dan keterangkuman, kini sekali lagi dipilih untuk menerbitkan sebuah filem tentang seorang ikon atlit wanita yang juga bakal diberikan sentuhan oleh 2 penulis skrin berprofil tinggi. 

Bagi korang yang belum mengenali ACE Pictures, dan filem serta anugerah yang mereka miliki, boleh lawati acepictures.com