99% Kakitangan Sudah Divaksin, ERL Kembali Beroperasi 13 September

TARIKAN
September 09, 2021 - 02:09 PM


Memandangkan sempadan Kuala Lumpur - Putrajaya pun dah dibuka, korang dah boleh ulang-alik naik ERL dah bermula 13 September ni!

Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan mula beroperasi semula bagi semua perkhidmatan trennya mulai 13 September susulan peralihan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

ERL dalam kenyataannya memaklumkan, KLIA Express dan KLIA Transit akan beroperasi sebagai perkhidmatan gabungan dari 6 pagi hingga 10.10 malam setiap hari, dan jadual perjalanan akan disesuaikan kemudian untuk menampung jumlah penumpang yang semakin meningkat.

Pada 4 Jun lalu, ERL menggantung semua perkhidmatan trennya susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

ERL menyatakan 99 peratus kakitangannya, termasuk 100 peratus kakitangan barisan hadapan dan operasi telah melengkapkan vaksinasi COVID-19.

Hanya kakitangan yang mempunyai kondisi kesihatan tertentu sahaja masih belum divaksin.

“Demi memastikan kesihatan dan keselamatan penumpang dan kakitangan, ERL telah menyeru semua kakitangannya untuk mendapatkan vaksin COVID-19 sebagai persediaan meneruskan perkhidmatan.

“Ini selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan kesemua pekerja di perkhidmatan penting seperti pengangkutan awam mendapatkan vaksin seterusnya mencapai imuniti kelompok.

“Dengan kadar vaksinasi penuh dan pembersihan harian yang ketat tren dan stesen, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai keselamatan dan keselesaan semasa menggunakan perkhidmatan tren,” ujarnya.

ERL Tawar Promosi!

Dalam masa yang sama, ERL turut menawarkan promosi kad perjalanan mingguan percuma untuk setiap pembelian kad perjalanan bulanan transit KLIA dengan kad pengenalan berdaftar.

“Promosi akan bermula segera sehingga 30 November untuk mendorong lebih ramai orang yang kembali ke pejabat atau ke tempat kerja menggunakan pengangkutan awam untuk perjalanan harian mereka.

“Kad perjalanan bulanan memberikan penjimatan besar untuk penumpang kerana potongan harga diberikan sehingga 83 peratus,” tambahnya.

ERL turut menyatakan orang ramai boleh mendapatkan jadual penuh perjalanan tren dan kemaskini serta Langkah keselamatan diambil ERL melalui www.KLIAexpress.com atau di Facebook KLIA Express.

Untuk pertanyaan berhubung pemulangan semula bayaran dan bantuan lebih lanjut, penumpang boleh menghubungi talian khidmat pelanggan di 03-2267 8000 (Isnin hingga Jumaat 8:30 pagi - 6 petang waktu tempatan), menurut kenyataan itu.

Destination: 
Artikel berkaitan