Puncak Gunung Baling, Pendakian Selama 3 Jam Yang Epik

October 17, 2019 - 05:25 PM


Pernah viral seketika di Facebook, Gunung Baling kini menjadi lokasi ‘panas’ para hikers dan pendaki di negara kita. Terletak di Mukim Pulai, Daerah Baling, Kedah laluan untuk sampai ke puncak setinggi 546 meter (ada info yang ketinggiannya ialah 420 meter) dari aras laut ini boleh dibahagikan kepada 3 bahagian.

Sejak tersebarnya kecantikan dan keindahan Gunung Baling, boleh dikatakan setiap hari pasti ada pendaki yang akan kesana dan pada hujung minggu, jumlah ini boleh mencecah sehingga lebih 500 orang.

Kalau nak diikutkan, di kawasan ini ada dua gunung iaitu Gunung Baling dan Gunung Pulai, namun ramai yang bertumpu di Gunung Baling disebabkan laluannya yang lebih mudah berbanding Gunung Pulai.

Trek pendakian bermula dengan laluan hutan sederhana yang bertanah diikuti dengan pendakian bukit yang mencabar sebelum berdepan dengan laluan hutan sederhana dan berbatu. Selepas itu, jumpa pula laluan berbatu dengan pokok renek.

Kalau nak diikutkan, pendakian akan memakan masa hampir 2 hingga ke tiga jam.

Berikut adalah sedikit info ringkas berkenaan aktiviti mendaki Gunung Baling :

Waktu Operasi Pejabat Pendakian Gunung Baling – Ahad – Rabu, 8 pagi hingga 5 petang. Khamis, 8 pagi hingga 3.30 petang.

Bayaran permit mendaki : RM5 untuk warganegara, RM15 pelancong asing

Sijil pendakian akan diberikan kepada pendaki.

Sebelum itu, perlu diingatkan yang pendaki memang tidak dibenarkan untuk bermalam di puncak dan untuk mendaki mereka diwajibkan mematuhi syarat – syarat yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Baling iaitu ;

  1. Perlu mengisi borang perakuan diri untuk rekod pihak pengurusan dan makluman kepada pihak berwajib
  2. Perlu menggunakan khidmat petunjuk arah (guide) yang telah disediakan oleh pihak pengurusan dengan bayaran RM70 untuk seorang petunjuk arah bagi perseorangan atau kumpulan sehingga 10 orang.
  3. Perlu membuat tempahan selewatnya 3 hari sebelum pendakian
  4. Hanya 300 pendaki SAHAJA dibenarkan untuk mendaki setiap hari
  5. Maksumum 100 orang pendaki sahaja di puncak pada satu masa
  6. Bersedia dengan kelengkapan pendakian
  7. Mengutamakan aspek keselamatan dan kebersihan

Nota : Untuk maklumat, atas tadi kami ada sebut kena isi borang kan, memang leceh sikit tapi ada 3 borang kesemuanya… Boleh klik disini untuk dapatkan borang mendaki gunung baling.

Kredit Foto : tgskasijadi

Destination: