Aktiviti & Tempat Menarik Wajib Korang Cuba Jika Ke Labuan!
Siapa antara korang yang pernah terfikir untuk travel atau memilih Labuan sebagai destinasi percutian?
Mesti ramai yang tak pernah terfikir pun Labuan tempat menarik untuk dikunjungi, kan? Mesti korang rasa "apa yang ada kat Labuan?" atau "Labuan kot...boringnya!".
Min pun fikir macam tu sebelum ini, tapi lepas Tourism Malaysia dan Tourism Labuan bawa min dengan kengkawan media sosial lain ke Wilayah Persekutuan Labuan sempena Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, ternyata min silap besar dan min dah jatuh cinta dengan bandar pelabuhan ini!
Mana taknya, sebab tak sangka yang Labuan sebenarnya ada banyak tempat menarik dan aktiviti best yang jarang kita dapat kita lakukan jika melancong ke destinasi lain dalam Malaysia.
Jom kita usha apa tempat-tempat dan aktiviti menarik yang patut korang cuba bila berkunjung ke Labuan!
1. KAMPUNG AIR PATAU-PATAU 2
Orang kata korang tak jejak Labuan kalau tak singgah ke kawasan rumah atas air tradisional yang ada di sini seperti Kampung Air Patau-Patau 2 ini. Sampai je di pintu besar kampung ni korang akan disajikan dengan panorama deretan rumah-rumah kayu berwarna-warni yang seakan-akan terapung di atas permukaan laut.
Kalau biasanya kita nampak depan rumah, orang parking kereta atau motosikal tetapi di Kampung Air Patau-Patau 2 ini bot atau perahu yang mereka tambat di depan rumah sebagai pengangkutan harian.
Menariknya, Kampung Air Patau-Patau 2 kalau korang nak tahu ialah ia satu-satunya 'Homestay Atas Air' yang ada di Malaysia!
Di sini terdapat 13 buah homestay yang korang boleh sewa dengan bayaran antara RM70 dan RM80 semalam.
Ia siap dengan pakej penginapan dan pelbagai aktiviti seperti menangkap ikan di halaman belakang rumah, bersantai di bangku kayu melihat pemandangan laut, keliling kampung menaiki bot, menonton persembahan kebudayaan di waktu malam dan paling best belajar membuat hidangan sagu tradisional Brunei iaitu 'Ambuyat'!
Ambuyat ini sedap bila dimakan bersama sambal asam dan pedas yang dibuat dengan mangga muda, cili dan udang kering.
Tapi menurut penduduk kampung ini yang majoritinya berketurunan Kedayan-Melayu Brunei, mengikut adat jika ada ahli keluarga yang meninggal dunia mereka dilarang untuk menjamah Ambuyat dalam tempoh 40 hari.
Kampung Air Patau Patau 2 ini turut dilengkapi dengan saluran air dan elektrik, telefon dan sistem sisa, lampu jalan, dermaga teksi air, kedai runcit, kedai kraftangan, klinik, sekolah dan surau.
Bagi yang takut air, korang jangan risau sebab rumah-rumah di sini semuanya sangat kukuh dan kuat binaannya kerana kayu belian digunakan sebagai asas rumah - bahkan ada rumah yang telah dibina lebih 60 tahun lamanya!
2. KAMPUNG BEBULOH LAUT
Ini satu lagi kampung atas air yang wajib korang singgah jika ke Labuan, namanya Kampung Bebuloh Laut!
Kampung ini terkenal dengan penghasilan ikan bilis Labuan yang sangat istimewa berbanding ikan bilis yang dijual di Sabah kerana di sini mereka menggunakan teknik "bagang" atau kelong sebagai kaedah tradisional dalam penangkapan bilis.
KENAPA MESTI BELI IKAN BILIS LABUAN?
✅ Berkhasiat dan Berkualiti Tinggi.
✅ Bersih dan Tidak Cepat Rosak.
✅ Lebih Segar, Lembut & Nipis.
✅ Tiada Bahan Pengawet Seperti Tawas dsb
✅ Tidak Liat & Rangup Bila Digoreng (terasa kelemakkannya)
Di Kampung Bebuloh Laut ini juga korang boleh melawat ke Salinang Maju Enterprise untuk melihat sendiri cara memproses ikan bilis dari mula sampailah ia menjadi produk yang boleh korang beli dan bawa balik sebagai buah tangan.
3. COBSEA MONUMEN
Di Labuan kalau korang nak menikmati pemandangan indah matahari terbenam, antara tempat yang boleh korang pergi ialah di COBSEA Monumen sebab di sini ada jajaran pantai sepanjang 9 kilometer dari Pantai Batu Manikar hingga ke Pantai Sungai Miri.
Pantai ini memang terkenal di Labuan kerana telah memenangi Anugerah Pantai Terbersih dari United Nation Environment Programme di Pattaya, Thailand melalui 2nd COBSEA Marine Litter Workshop and Clean Up Campaign 2008.
Dari Pantai Batu Manikar, singgahlah di Pantai Batu Pohon di mana ada warung kayu untuk nelayan menjual makanan laut segar setelah mereka mendarat. Terdapat juga warung makan untuk para pemerhati matahari terbenam untuk menghilangkan haus dan lapar.
Orang kata di Pantai Pancur Hitam pun ada pemandangan yang best sebab terdapat banyak pokok rhu yang tumbuh dalam baris yang teratur dan memang cantik kalau nak bergambar Instagram di situ!
4. TAMAN DAMAI & SURRENDER POINT
Siapa kata di Labuan hanya ada bangunan-bangunan moden saja? Tidak ya, Labuan sebenarnya kaya dengan khazanah sejarah dari zaman penjajahan British dan Jepun lagi.
Buktinya korang boleh lihat jika berkunjung ke Taman Damai yang dibina khas bagi memperingati peristiwa Jepun meletakkan senjata dan berundur secara rasmi dari Labuan.
Bagi menunjukkan bahawa Jepun benar-benar meminta maaf daripada kesusahan yang disebabkan oleh nenek moyang mereka, Negara Matahari Terbit itu memutuskan untuk membina Taman Keamanan di sebelah Pusat Penyerahan.
Taman Damai ini juga sebagai penghargaan kepada orang-orang yang telah berkorban nyawa di Borneo semasa Perang Dunia II.
Tugu yang seakan-akan berbentuk matahari separuh ini juga merupakan kenang-kenangan daripada persahabatan antara Malaysia dan Jepun serta penzahiran janji untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian pada masa depan.
Kalau korang nak tahu hingga ke hari ini, segala kos untuk menjaga Taman Damai ini masih dibiayai oleh pihak Jepun.
Di pintu masuk taman ini didirikan kepingan batu yang di atasnya diukir dengan jelas untuk ingatan sampai ke akhir zaman - "Damai Adalah Yang Terbaik".
Bersebelahan dengan Taman Damai, korang boleh singgah untuk melihat sendiri tinggalan sejarah penyerahan diri oleh Jepun di Surrender Point.
5. MUZIUM LABUAN
Mesti ramai yang tak menyangka bahawa dulu sebenarnya Labuan adalah milik Kesultanan Brunei sebelum bertukar tangan ke tangan beberapa negara penjajah dan merdeka di bawah nama Malaysia.
Kalau korang nak tahu lebih mendalam tentang sejarah Labuan sebagai bandar pelabuhan dan perlombongan arang batu pada zaman dahulu, korang wajib singgah ke Muzium Labuan.
Muzium setinggi 2 tingkat ini mula dibuka pada Oktober 2004 dan terletak di lokasi strategik iaitu di tengah-tengah bandar Labuan.
Tingkat bawahnya didedikasikan untuk pameran bersejarah merangkumi era pra-sejarah Labuan, kesultanan Brunei, zaman kolonial British, Perang Dunia Kedua, Kemerdekaan, perisytiharan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan sehinggalah penubuhan Perbadanan Labuan.
Manakala di tingkat atas mempamerkan pulau sosio-budaya dan evolusi ekonominya bagi enam kaum utama di Labuan iaitu Melayu Brunei, Kedayan, Cina, Kadazandusun, India dan Sikh.
Pelbagai barangan lama seperti alatan muzik, barangan kewangan, senjata api, aksesori perkahwinan, kostum dan artifak dipamerkan termasuk dari sebelum era pra-sejarah lagi! Rugi kalau korang tak singgah sini!
Muzium ini dibuka setiap hari dari pukul 8.30 malam hingga 5.30 petang dan masuk adalah percuma.
Sebelum masuk ke dalam muzium, korang akan melalui perkarangan yang dihiasi dengan 4 buah pokok besar yang ditanam sebelum zaman kemerdekaan lagi sebagai simbolik perpaduan kaum-kaum utama di Labuan!
6. UJANA KEWANGAN
Ujana Kewangan ini merupakan satu-satunya kompleks membeli-belah yang ada di Labuan!
Ia terletak di pusat bandar Labuan dan menjadi persinggahan wajib kepada pengunjung dan pelancong untuk membeli-belah pelbagai barangan bebas cukai yang menarik seperti coklat import, mutiara, tekstil, tembakau dan sebagainya.
Berdasarkan pemerhatian min, barang-barang yang dijual di Ujana Kewangan ini terutama coklat memang lebih murah berbanding di kedai-kedai bebas cukai lain sekitar Labuan.
TIPS: Sebelum beli coklat di kedai-kedai dalam Kompleks Ujana Kewangan ini pastikan korang periksa dahulu tarikh luput coklat yang nak dibeli sebab kadang-kala ada yang dijual telah melebihi tarikh tersebut. So jangan lupa check, sebelum bayar ok!
7. KOMPLEKS SUKAN LAUT ANTARABANGSA LABUAN
Korang tak 'world' la kalau tak datang ke Kompleks Sukan Laut Antarabangsa iaitu sebuah pusat sukan air bertaraf dunia ini yang terletak di kawasan pantai sepanjang Jalan Tanjung Purun, dekat je dengan pusat bandar Labuan.
Kompleks seluas 5.91 ekar ini mula dibuka kepada umum pada Jun 2001 dan memiliki 3 tarikan utama iaitu Pusat Sukan Air, Muzium Biologi Marina dan Plaza Utama.
Aktiviti wajib yang memang korang kena cuba jika ke sini ialah menaiki perahu layar atau nama tradisionalnya "Parahu Larai"!
Zaman dahulu perahu layar ini merupakan satu-satunya pengangkutan yang menghubungkan Labuan dengan tempat-tempat lain.
Pengunjung akan dapat menikmati keindahan lautan luas secara terbuka sambil menaiki perahu tradisional yang bergerak dengan tiupan angin.
Kalau berminat korang boleh menempah slot seperti yang terpapar di dalam poster di bawah. Ingat ya, untuk booking korang kena buat sehari lebih awal, kalau tak memang melepas!
Murah je naik Parahu Larai ini, hanya RM15 seorang untuk tempoh pelayaran selama 30 minit!
TIPS: Masa yang dicadangkan untuk menaiki Parahu Larai ialah pada waktu pagi bagi mengelakkan bahang mentari / ketika lewat petang sambil menyaksikan pemandangan matahari terbenam.
8. THE CHIMNEY & MUZIUM CHIMNEY
Kalau sebut Labuan antara ikonik pelancongan yang tergambar di fikiran kita tentunya sebuah struktur terkenal ‘The Chimney' – dengan batu-bata merah tersusun setinggi 106 kaki.
Terletak di suatu kawasan tinggi di Tanjung Kubong, tujuan pembinaan ‘The Chimney' yang dibuat daripada lebih 23,000 bata merah serta diimport dari England, sehingga ke hari ini masih kekal misteri!
Namun, orang Labuan mengaitkan pembinaannya dengan perlombongan arang batu pada zaman British berdasarkan stail struktur itu yang biasa ditemui di negara tersebut.
Malah ada juga banyak hipotesis yang telah dikemukakan bagi membongkar misteri Chimney seperti menyatakan bahawa ianya sebuah rumah besar yang tidak siap, ia adalah sebuah rumah api bagi kapal-kapal yang berlayar dan ia digunakan sebagai menara loceng untuk menandakan kedatangan kapal-kapal kepada penduduk di situ.
Walau apa pun jawapan kepada misteri pembinaan Chimney, struktur ini telah berjaya menerima anugerah "The International Green Apple Awards for Environmental Best Practice" dan "Sustainable Development 2013" untuk kategori seni bina bangunan bersejarah hingga Labuan dipilih menjadi Duta Hijau 2014!
Semua maklumat mengenai Chimney ini korang boleh ketahuinya sendiri dengan mengunjungi Muzium Chimney yang terletak bersebelahan sahaja dengan struktur binaan tersebut.
9. GEDUNG UBAT
Selepas meneroka Chimney, korang boleh berjalan di Chimney Trail sejauh 800 meter atau sekitar 20 minit sahaja untuk menyaksikan keindahan "Gedung Ubat" yang berada di puncak Tanjung Kubong.
Meskipun namanya Gedung Ubat, namun di sini tidak mempunyai atau menjual ubat seperti di hospital atau farmasi, sebaliknya ia dipercayai pernah menjadi tempat tempat penyimpanan peluru tentera Jepun. Peluru itu yang digambarkan sebagai ubat!
TIPS: Untuk keselamatan dan keselesaan, sila pakai kasut, track suit dan topi bagi memudahkan korang bergerak ke Gedung Ubat.
10. TAMAN BURUNG LABUAN
Taman Burung Labuan terletak berdekatan dengan Chimney di Tanjung Kubong.
Ia mempunyai tiga sangkar berbentuk kubah besar dikelilingi lanskap indah dan menjadi rumah kepada 600 ekor burung daripada 75 spesies.
Bulan Oktober ini, pihak Taman Burung Labuan dikatakan akan membawa masuk tambahan 230 ekor burung daripada 10 spesies baru untuk dipertontonkan kepada para pengunjung.
Menariknya taman burung ini korang berpeluang untuk mendekati dan memberi makan sendiri kepada burung-burung di sini.
TIKET MASUK:
- Dewasa - RM 3
- Kanak-kanak (dibawah umur 6 tahun) - Free
- Pelajar/Warga Emas - RM 2
- Pelancong - RM 5
TIPS : Taman Burung Labuan dibuka setiap hari KECUALI pada hari Jumaat!
11. DME VIRGIN COCONUT OIL
Ada satu lagi produk pelancongan baharu di Labuan yang korang boleh lawati iaitu DME Virgin Coconut Oil (Minyak Kelapa Dara) di Kampung Bukit Kuda.
Di sini, korang akan dapat melihat sendiri cara pemprosesan minyak kelapa dara menggunakan pelbagai peralatan moden yang dicipta sendiri oleh pemiliknya.
Sebelum balik korang juga boleh membeli minyak kelapa dara serta pelbagai produk lain berasaskan kelapa untuk dijadikan cenderamata kepada keluarga atau kenalan.
Banyak khasiat semulajadi kalau korang guna produk daripada minyak kelapa dara ini tau! Tak percaya boleh cuba....
12. LABUAN MARINA
Labuan Marina ini merupakan lokasi kapal-kapal kargo dan bot-bot penumpang berlabuh serta menjadi jeti untuk pelancong menaiki feri ke Pulau Rusukan Besar, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Kuraman.
Pemandangan di sekitar marina ini cukup mempesonakan terutama ketika matahari terbenam dan korang boleh enjoy bergambar dengan berlatar belakangkan kapal-kapal besar untuk Instagram masing-masing. Memang cantik!
13. DATARAN LABUAN
Dataran Labuan terletak di pusat bandar Labuan. Tumpuan utamanya adalah satu pentas luarnya yang merupakan tempat popular bagi sesetengah acara dan persembahan utama di pulau tersebut.
Panji-Panji Pulau Labuan dan negeri-negeri di Malaysia juga berkibar megah dalam satu barisan di atas pentas ini.
Pada penghujung dataran terdapat padang bola sepak bandar, sementara di penghujung lainnya adalah sebuah replika ‘Chimney', mercu tanda yang paling terkenal di Labuan serta dihiasi lanskap tumbuhan dan air pancut.
14. MASJID JAMEK AN-NUR
Langit Labuan terhias indah dengan pemandangan satu-satunya masjid tunggal di sana iaitu Masjid Jamek An-Nur.
Masjid yang terletak di Jalan Tun Mustapha ini dirasmikan pada 1 Februari 1988 bersempena Hari Wilayah Persekutuan.
Gabungan seni bina dari unsur Melayu-Brunei dan Turki menjadi asas rekaan masjid cantik ini.
Ia dilengkapi dengan kubah dan dua menara tinggi di kedua-dua belah masjid serta turut dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan bagi kegunaan awam seperti tiga dewan kuliah, perpustakaan Darul Hikmah, pejabat pentadbiran dan bilik rehat bagi VIP.
Bestkan aktiviti dan tempat-tempat menarik yang boleh kita kunjungi di Labuan ini!
Sebab itu Labuan digelar "Mutiara Borneo", ia sememangnya permata berharga yang ramai orang tak tahu! Jadi apa lagi jom cuti-cuti ke Labuan!