Bosan Asyik Jalan-Jalan Tempat Sama Kalau Ke Melaka? Ini 6 Tempat Menarik Yang Tak Ramai Orang Tahu Jika Bercuti Ke Jasin!
Kalau dah sampai Melaka, alang-alang tu janganlah lupa untuk singgah ke Jasin. Bila sebut Jasin ni mesti ramai yang akan cakap pernah singgah untuk makan ikan bakar je. Memang tak dinafikan, Jasin sememangnya terkenal dengan deretan gerai-gerai ikan bakar yang sedap dan lazat -- antaranya di Alai, muara Anjung Batu, Serkam dan Umbai. Tapi kan, ramai juga yang tak tahu sebenarnya terdapat banyak lagi lokasi menarik lain atau boleh dikatakan sebagai “permata tersembunyi” yang dimiliki Jasin ini.
Kalau dari Bandaraya Melaka, jarak untuk ke Jasin ni mengambil masa 30 minit je. Sekiranya korang dari Kuala Lumpur, perjalanan untuk ke Jasin mengambil masa kira-kira dua jam (156 KM) melalui susur keluar di Tol Jasin. Kalau dari arah Selatan melalui Tol Tangkak pula pekan Jasin ni terletak hanya 18 kilometer.
Dekat mana lokasi-lokasi menarik yang boleh dituju di Jasin? Jom kita check it out!
Pekan Jasin
Kalau dah sampai Jasin, mestilah kita nak tengok macam mana keadaan pekannya, kan? Pekan koboi ke, pekan dengan bangunan-bangunan lama ke atau pekan moden yang ada KFC, Pizza Hut, bank-bank dan perkhidmatan lain yang ada dekat ibu kota.
Di pekan Jasin ini, segala perkhidmatan asas ada disediakan dari klinik, bank sehinggalah restoran makanan segera.
Kalau nak tahu mana satu pekan Jasin, mercu tanda dia, korang akan nampak arca tengkolok di tengah-tengah salah satu bulatan di pekan. Suasana di pekan Jasin ini ada sedikit vibes macam di Tangkak.
Di pekan Jasin ni, kalau korang nak bergambar, suasana tu memang lebih kepada gaya kehidupan masyarakat di Jasin. Korang juga boleh berjalan di bangunan-bangunan bersejarah yang ada di situ untuk merakamkan gambar kandid.
Di pekan ini juga dibina arca “I Love Jasin” kalau korang nak merakamkan gambar kenang-kenangan 'check in' di sana.
TIPS untuk ambil gambar di pekan Jasin adalah gunakan wide-angle lens untuk mendapatkan panorama penuh, sebab bangunan-bangunan di pekan ini dibina secara bersebelahan antara satu sama lain. Barulah gempak gambar korang nak share dekat media sosial!
Makam Tun Teja
Tak lengkap percutian korang di Melaka kalau tak singgah ke tempat-tempat bersejarah.
Makam Tun Teja ini adalah salah satu lokasi yang boleh dikunjungi kerana bukan sahaja korang akan dapat mengetahui sejarah wanita yang pernah dilamar oleh Hang Tuah untuk Sultan Mahmud Shah pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka, tetapi suasana di makam tersebut juga sangat mendamaikan jiwa kerana korang dapat menikmati kehijauan bendang yang terbentang luas di sekelilingnya.
TIADA BAYARAN dikenakan untuk masuk ke Makam Tun Teja ini. Di bahagian pintu masuk, satu gerbang telah dibina dengan sedikit hiasan batu marmar yang sinonim dengan seni estetika masyarakat Melaka.
Sepanjang lorong untuk masuk ke kawasan makam pula, korang akan mula nampak kehijauan sawah padi, dari laluan itu pun mesti korang dah rasa teruja untuk merakamkan gambar-gambar yang cantik.
Di dalam perkarangan Makam Tun Teja, terdapat beberapa papan pemuka yang menceritakan sejarah mengenai Tun Teja. Bolehlah kita mengimbau semula kisah sejarah Melaka untuk dijadikan sebagai ilmu pengetahuan buat anak-anak yang turut serta berkunjung ke sana.
Pantai Siring, Merlimau
Ada apa dengan Pantai Siring? Kalau korang nak tahu di pantai ini sebenarnya terdapat ‘lubuk makanan laut’ yang segar dan sangat menyelerakan di Jasin. Bagi korang yang juga peminat segala makanan laut celup tepung tu, bolehlah singgah ke Pantai Siring ini. Tak perlu nak ke Terengganu dah, di Jasin pun dah boleh melepaskan 'gian' korang tu.
Semua menu di sini dikira mengikut set. Set udang biasanya 4 ekor RM10, sotong dalam RM15 manakala ikan RM5 seekor. Selain menu goreng celup tepung, ada juga sajian nasi lemak dengan pelbagai jenis lauk dan kuih-muih. Berhampiran kedai celup tepung ini juga ada kedai menjual sate yang dinamakan sebagai Kedai Kuning.
Kalau masuk dari arah jeti Anjung Batu, korang hanya perlu memandu ke depan sikit kira-kira 100 meter, korang akan jumpa kedai Kak Azizah Asam Pedas pula. Istimewanya menu asam pedas di sini, semua ikan-ikan yang digunakan adalah segar 100% sebab di situlah lokasi di mana nelayan membawa naik tangkapan hasil ikan mereka.
Segala jenis ikan ada, tetapi yang paling banyak mendapat permintaan tinggi tentunya ikan mayong dan kepala ikan mayong yang selalu menjadi pilihan pengunjung. Tetapi ingat ya, warung Kak Azizah ni buka dari pagi sampai petang sahaja. Jadi, korang dinasihatkan untuk hubungi dahulu beliau di talian 019-6834540 atau 013-5299652 sebab takut lauk dah licin kalau korang sampai. Nanti kempunan pula! Hehehe...
Depan kedai Kak Azizah ada juga asam pedas yang dinamakan kedai Norita Asam Pedas. Buka dari pukul 10 pagi sehingga 6 petang. Kalau korang bercuti 3 hari 2 malam ke sini, bolehlah bergilir-gilir cuba kedua-dua kedai asam pedas ini kerana masing-masing mempunyai keistimewaan dengan cara masakan mereka yang tersendiri.
Selain gambar lauk-pauk yang dibeli, korang juga boleh merakamkan gambar kenang-kenangan berlatarbelakangkan keindahan laut Pantai Siring ini. Tapi, gambar dengan pemandangan matahari terbenam pastinya yang paling terbaik dan cantik!
Bendang Parit Putat Benteng, Sungai Rambai
Ini satu lagi lokasi menarik untuk dikunjungi jika korang bercuti ke Jasin yang tak ramai orang tahu!
Kalau korang rasa nak bergambar dengan berlatarbelakangkan pemandangan sawah padi yang hijau dan terbentang luas, korang dah tak perlu gigih nak pergi sampai ke negeri Utara tanah air sebab dekat Jasin pun ada! Korang tinggal nak waze bendang Parit Putat Benteng, Sungai Rambai.
Tips untuk datang ke sini, pastikan korang dah siap sedia memakai topi atau bawa payung dari rumah! Korang tahu je lah cuaca di Melaka ni kan memang agak panas kerana kedudukannya yang terletak di perairan Selat Melaka. Jadi selamatlah kulit korang daripada terbakar dek cahaya matahari kalau tengah sakan ber-OOTD kat tengah-tengah sawah tu!
Lagi satu tips, nak dapat gambar cantik – sebelum datang sini korang kenalah periksa musimnya dulu. Pastikan korang jangan datang masa musim banjir atau musim orang dah menuai padi tu. Nanti gambar korang nampak sendu je!
Untuk pastikan masa yang sesuai kalau nak singgah ke jelapang padi ni, bolehlah hubungi Jabatan Pertanian Negeri Melaka di talian 06-2324 669 dan tanya maklumat lanjut mengenai musim padi menguning.
Untuk pengetahuan korang, jelapang padi di Sungai Rambai ni masih belum ada binaan sistem perairan yang tetap, jadi penanaman padi belum lagi mempunyai jadual untuk musim ditanam, musim menguning dan musim menuai, seperti di negeri Utara tanah air.
Rumah Tradisional Penghulu Natar
Rumah tradisional ini dibina pada tahun 1914 oleh Demang Abdul Ghani, Penghulu Kawasan Merlimau dan kalau korang nak tahu istimewanya Rumah Penghulu Natar ini, ia merupakan binaan rumah Melayu paling cantik di Melaka tau!
Dari luar pagar pun, kita dah boleh nampak keunikan seni bina Rumah Tradisional Penghulu Natar ni kerana ia terdiri daripada campuran marmar dan cat dengan warna-warna yang terang.
Reka bentuknya banyak dipengaruhi oleh seni bina dari Palembang, China, Kemboja, Champa dan Filipina, manakala bumbungnya pula memaparkan identiti Limas.
Korang boleh masuk di kedua-dua bahagian dalam dan luar rumah Tradisional Penghulu Natar ni untuk merakamkan gambar kenangan. Kalau nak gambar jadi lebih menarik, tipsnya adalah pastikan korang memakai pakaian tradisional Melayu siap-siap, barulah masuk seolah-olah di zaman suasana klasik Melayu dulu-dulu macam yang ditawarkan di rumah Tradisional Penghulu Natar ini.
Laman Cikgu Bedah
Dah penat berjalan sehari suntuk di Jasin dan tiba-tiba rasa macam tak larat pula nak memandu pulang ke KL? Jom kita sambung percutian di Homestay Laman Cikgu Bedah di Parit Penghulu ni.
Homestay ni terletak hanya 25 minit dari Bandar Melaka melalui Lebuh AMJ. Korang kena gunakan susur keluar di Sungai Rambai untuk menuju ke Parit Penghulu. Kalau dari bandar Muar, jaraknya lebih dekat kira-kira 15 minit je untuk ke arah Melaka sehingga ke Sungai Rambai.
Uniknya, homestay ini berkonsepkan tradisional yang terletak dalam dusun buah-buahan. Sesuai sangat untuk "family gathering", tempat kenduri-kendara dan bersanggar rombongan pengantin. Buat pengetahuan korang, harga untuk menginap di sini mungkin tidak tetap dan bergantung kepada permintaan semasa. Untuk maklumat lanjut berkenaan harga dan suasana bilik, korang boleh hubungi Hj. Ismail Bin Samad di nombor 013-6105534.
Memang seronok kalau dapat menginap di homestay ini kerana segala kemudahannya bersih dan lengkap. Kawasan sekelilingnya pun cukup tenang dan mendamaikan.
Bagi korang yang dah selalu buat weekend getaway atau jalan-jalan cari makan (JJCM) ke Melaka ni mesti lokasi klise yang korang tuju adalah Bandaraya Melaka tu kan..
Tetapi apa kata sesekali korang cuba explore suatu pengalaman baru di Jasin yang tak ramai orang tahu, lebih dekat dengan alam semulajadi dan tak kurang hebat serta menarik juga kalau nak dibandingkan dengan kawasan lain di Bandaraya Bersejarah ini.
Jadi apa kata korang pakat-pakat share dulu apa yang menarik di Jasin ini sementara kita semua sedang duduk di rumah memandangkan sekarang pun masih ada 4 negeri yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sementara selebihnya berstatus Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), melainkan Perlis sahaja satu-satunya negeri dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Nanti bila dah boleh rentas daerah dan juga negeri, korang singgahlah bercuti ke Jasin dengan keluarga atau kawan-kawan, confirm korang takkan menyesal punya!