Dusun Tok Wak Desa Sentosa – Destinasi Eco Pelancongan Di Baling, Kedah

October 14, 2019 - 05:26 PM


Sebut saja daerah Baling, pasti akan ada yang tertanya-tanya dimana ataupun hanya pernah dengar nama sahaja. Pada awalnya, dengar sahaja ‘Baling’ dalam hati dah terdetik, “ada ke tempat tarikan pelancong disini?” Ternyata ada! Bukan satu, bukan dua tapi banyak.

Puncak Gunung Baling

Cuma untuk perkongsian kali ini, cukup kalau kami fokuskan ke salah satu tarikan yang ada disana iaitu Dusun Tok Wak Desa Sentosa. Sebuah produk pelancongan di kawasan Baling dan ianya merupakan tarikan berbentuk Eco Tourism. Jadi untuk korang yang mahukan pengalaman lain daripada yang lain, unik, dan tradisional, Desa Tok Wak ini highly recommended!

Terletak di Daerah Baling, lebih tepat lagi di Jalan Ulu Legong, Dusun Tok Wak Desa Sentosa ini telah mula bertapak sejak tahun 2016 lagi dan rata – rata yang kesini merupakan mereka yang suka dan gemar aktiviti yang melibatkan alam semulajadi.

Inilah pemilik Dusun Tok Wak ni, Pak Long. 

Untuk ke sini, korang boleh memandu terus. Cuma sebelum ke Dusun Tok Wak ni, kena buat tempahan dulu kalau taknak kecewa. Pak Long (pemilik tempat ini) akan layan korang sehabis baik!

Melangkah masuk ke Dusun Tok Wak ni, korang akan lalui sebuah jambatan besi dan kalau ikutkan dari segi perasaan atau ‘vibe’ dia ibarat kita pulang ke kampung halaman. Hehe. Korang perlu merentasi sungai dahulu sebelum sampai ke sini.

Tarikan di Dusun Tok Wak Desa Sentosa :

Pertamanya adalah MAKANAN!

Makanan yang dihidangkan ada beberapa set dan yang dihidangkan kepada kami adalah bernilai RM35 – lengkap dengan Sup Kambing, Kari Daging, Daging Pekasam, Sayur Kampung, Gulai Batang Pisang , Buah Tempatan (digantikan dengan tembikai sebab bukan musim buah) dan air. Paling special pada kami adalah Sup Kambing Madu Lebah Kelulut dan Kopi Madu Lebah Kelulut!

Selain itu, konsep makan disini istimewa sikit. Pak Long akan susun meja di dalam sungai, dan… Makan dalam sungai.

Sejujurnya ini kali pertama kami cuba dan pengalaman makan dalam sungai ni betul lain macam. Rasa lebih berselera sambil khayal kaki dipukul arus sungai.

Aktiviti Kampung

Selesai makan tengah hari, kami mulakan lawatan dengan melakukan aktiviti yang disediakan oleh ‘team’ Dusun Tok Wak Desa Sentosa.

Antaranya adalah Membuat anyaman, permainan tradisional Musang Berjanggut dan boling buah kelapa.

Selain itu, ada juga aktiviti mencari udang dan tarik tali dalam air, cuma nasib kami kurang cantik kerana waktu kami tiba, kawasan disini hujan lebat dan arus sungai terlalu kuat untuk melakukan aktiviti tarik tali.

 

Melawat Ladang Madu Kelulut Lengong

Selain aktiviti di kawasan Dusun Tok Wak, pengunjung kesini akan dibawa melawat ke sebuah dusun atau ladang madu kelulut di kawasan berdekatan yang juga dimiliki oleh Pak Long.

Disini, pengunjung boleh belajar dan cuba menu tradisional tempatan iaitu Pek Nga – rupanya seperti lempeng dicampur dengan kelapa. Rasa lemak – lemak sikit.

Selain Pek Nga, dah namanya pun berada di ladang kelulut, pengunjung akan dibawa melawat ladang kelulut dan sarang lebah kelulut. Menariknya, korang boleh sedut madu lebah kelulut ini terus dari sarang. Memang original dan terus dari sarang!

Di tempat yang sama juga ada sebuah lagi tarikan yang juga dimiliki oleh Pak Long atau namanya Mohd Akhir Ismail yang berusia 62 tahun. Walaupun berusia 62, sekali pandang memang ramai yang tidak menyangka Pak Long ini dah beusia 60-an. Rahsianya madu kelulut dan amalan – amalan pemakanan disini.

Berbalik kepada satu lagi tarikan tadi, ia adalah Rumah Ndoi. Rumah Ndoi ini adalah penginapan yang diusahakan oleh Pak Long juga di kawasan ladang kelulut tadi. Pengunjung boleh memilih untuk menginap di dalam khemah atau bermalam di ndoi (hammock) yang disediakan.

Difahamkan, harga untuk bermalam disini ialah RM30 sahaja untuk di hammock dan RM60 untuk bermalam di khemah. Harga semestinya tidak termasuk sarapan, makan dan sebagainya.

Jadi, untuk korang yang berminat untuk ke Dusun Tok Wak Desa Sentosa atau nak bermalam di Rumah Ndoi ni, bolehlah hubungi nombor dibawah.

Info : Untuk tempahan di Dusun Tok Wak Desa Sentosa tadi, minimum adalah untuk 15 orang. Kalau datang 10 orang pun, harga yang dikenakan adalah untuk 15 orang juga.

Facebook : Dusun Tok Wak Desa Sentosa

No telefon : 0195088258 ( Pak Long )

Destination: