Kuala Sat ‘Permata Tersembunyi’ Yang Best Untuk Korang Bercuti Di Jerantut, Pahang!

April 17, 2021 - 04:11 PM


Jika sebut hendak melancong ke Pahang, pasti ramai yang lebih gemar memilih bercuti ke pusat peranginan tanah tinggi popular seperti Cameron & Genting Highlands, selain beberapa daerah terkenal mereka seperti Kuantan, Temerloh, Bentong dan Pekan.

Namun, tidak ramai yang tahu tentang keistimewaan daerah Jerantut iaitu daerah yang terbesar - bukan sahaja di negeri Pahang, bahkan yang terbesar juga untuk seluruh Semenanjung Malaysia. Jika daerahnya saja sudah bergelar daerah yang terbesar, pastinya Jerantut juga mempunyai banyak tempat menarik untuk dilawati

Kalau anda hendak tahu, berdasarkan cerita orang lama-lama – Jerantut mendapat namanya daripada perkataan ‘Jeram’ dan ‘Tut’, yang diambil daripada nama individu ‘Awang Tut’ yang sering mengail di kawasan ‘jeram’ di tengah-tengah Sungai Pahang.

Jerantut yang juga merupakan daerah ke-8 bagi negeri Pahang sebenarnya kaya dengan khazanah alam semulajadi, apabila turut dijadikan pintu masuk utama ke Taman Negara serta menjadi lokasi penemuan beberapa artifak arkeologi pada Zaman Pra-Sejarah.

Jadi jika anda pencinta alam dan sukakan kepada ketenangan serta kedamaian -- Jerantut sememangnya lokasi percutian paling tepat untuk anda terokai jika aktiviti rentas negeri sudah dibenarkan nanti.

Tetapi jika anda memang menetap di Pahang, ambillah kesempatan dengan kebenaran rentas daerah sekarang ini untuk bawa keluarga atau rakan-rakan bercuti ke Jerantut.

Untuk ke Jerantut, ia terletak kira-kira 180 kilometer dari Kuantan dan 200 kilometer dari Kuala Lumpur.

Mana tempat hendak dituju jika ke sana nanti? Jom kita ke KUALA SAT, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang!

INFO TENTANG KAMPUNG KUALA SAT

Kampung Kuala Sat sebenarnya terletak di mukim Hulu Tembeling dan lokasi ini merupakan destinasi eko-pelancongan baharu yang boleh menggamit pelancong antarabangsa dan domestik. Nama Kampung Kuala Sat sebenarnya berasal daripada perkataan ‘Sat’ yang bermaksud asli.

Menurut penduduk di sini, Kampung Sat ini merupakan kawasan jalan besar yang semestinya perlu dilalui oleh orang tempatan jika mereka ingin ke Terengganu dan Kelantan, menjadikan kampung ini kawasan ‘asli’ serta lokasi tumpuan.

Dah namanya pun kuala, kampung ini terletak berdekatan dengan kawasan penempatan Melayu Pahang di pesisir Sungai Tembeling dan di sinilah terdapat beberapa hutan kekal Taman Negara yang berusia 130 juta tahun.

Khazanah flora dan fauna yang unik di sini dikatakan antara yang paling lestari dan masih kekal terpelihara berbanding di tempat lain.

Disebabkan itu, kebanyakan pelancong Eropah dari Belanda, Jerman, Perancis dan Itali lebih gemar memilih Jerantut sebagai destinasi percutian mereka kerana menganggap hutan hujan tropika di negara kita begitu istimewa serta memenuhi ciri-ciri semula jadi yang mereka impikan.

 

Untuk sampai ke Kampung Kuala Sat ini, anda bakal menempuh beberapa laluan berliku dan bukit-bukau sejauh 67 kilometer, dengan tempoh perjalanan kira-kira 1 jam 30 minit. Memandu sendiri adalah cara terbaik yang kami syorkan untuk pergi ke Kampung Kuala Sat kerana anda akan dapat peluang menikmati dan menghayati keindahan panorama di Kuala Sat.

Malah, anda turut berpeluang untuk melihat sendiri secara lebih dekat khazanah alam yang tersimpan di perkampungan ini, sambil menerokai ‘permata  tersembunyi’ yang ditawarkan di Kuala Sat.

Selain pemandangan yang menakjubkan, memandu ke Kampung Kuala Sat turut memberikan anda peluang untuk menemui gerai-gerai sambal hitam yang cukup terkenal sebagai menu autentik berasal dari negeri Pahang. Sepanjang perjalanan ke sini, terdapat banyak gerai di tepi jalan yang anda boleh singgah untuk merasai sendiri kelazatan sambal hitam original Pahang.

Tentang penginapan pula, anda tidak perlu risau kerana di sini terdapat kemudahan chalet yang disediakan oleh pengusaha pelancongan ‘Sat Expeditions’ yang diuruskan oleh beberapa orang belia Kuala Sat.

Mana-mana pengunjung yang berminat juga boleh merasai pengalaman tidur di dalam khemah kerana perkampungan ini turut menyediakan kemudahan sewaan tapak perkhemahan yang selesa di pinggir sungai.

Berikut antara aktiviti yang boleh anda lakukan jika bercuti ke Kuala Sat :-

SANTUARI IKAN

Dah sampai ke Kampung Kuala Sat, rugi sekiranya anda tidak merasai pengalaman bermain dengan ikan liar seperti ikan kelah dan spesies lain yang jinak, antaranya lampam sungai dan kerai di Santuari Sungai Sat (anak Sungai Tembeling).

Malah anda juga boleh memberi ikan-ikan tersebut makan dan berenang-renang bersamanya. Namun perlu diingatkan aktiviti memancing atau menangkap ikan tidak dibenarkan di kawasan santuari ini bagi menjaga kelestarian habitat ikan-ikan berkenaan.

Santuari Ikan Kampung Kuala Sat ini sangat sesuai bagi anda yang ingin meluangkan masa dengan tenang bersama keluarga dan anak-anak, kerana santuari ini terletak di sebuah kawasan yang dikelilingi alam semula jadi yang masih kekal terpelihara.

Untuk pengetahuan anda, Santuari Ikan di Kampung Kuala Sat ini ditubuhkan oleh Komuniti Pengurusan Ekosistem Perikanan (KPEP) dan Sukarelawan Perikanan (SUPER) dengan kerjasama Pejabat Perikanan Negeri Pahang. Ia diwujudkan bertujuan menjadikan kawasan ini sebagai tempat pembiakan semula jadi bagi spesis ikan sungai yang kini semakin berkurangan.

PENGALAMAN TENGOK BURUNG BEREK-BEREK SEPANJANG SUNGAI KUALA SAT

Selepas puas bermain bersama ikan, anda boleh menyambung aktiviti di Kampung Kuala Sat dengan menelusuri Sungai Tembeling dan Sungai Tahan yang menjadi aktiviti wajib kepada pengunjung yang datang ke sini. Anda boleh menyewa bot berenjin yang disediakan di situ, di mana ia boleh memuatkan maksimum 8 orang.

Antara pengalaman best yang dialami ketika melakukan aktiviti ini adalah apabila disajikan panorama indah burung-burung berterbangan dan disusuli dengan kicauan unggas ketika menelusuri sungai Kampung Kuala Sat. Lebih mengujakan lagi, kami berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat jenis burung berek-berek yang hinggap di atas ranting kayu ketika kami melalui kawasan itu.

Kami dimaklumkan terdapat 10 spesies burung berek-berek yang berlainan di sepanjang laluan sungai ini dan ia sememangnya destinasi menarik untuk dikunjungi jika anda merupakan seorang ‘bird lover’.

KEUNIKAN ORANG ASLI ETNIK BATEK

Satu lagi pengalaman menarik jika anda menelusuri sungai di Kampung Kuala Sat adalah anda bakal berpeluang melihat secara dekat dan mengenali penduduk Orang Asli etnik Batek yang menjadi masyarakat minoriti di Jerantut, Pahang.

Anda berpeluang melawat ke penempatan mereka yang kaya dengan adat resam serta kesenian yang diwarisi turun-menurun dan masih diamalkan sehingga ke hari ini.

Uniknya Orang Asli Batek di sini ialah mereka juga masih mengamalkan konsep nomad atau berpindah randah yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Malah masyarakat minoriti ini yang cukup sinonim dengan penempatan dikelilingi alam semula jadi itu juga, hanya boleh ditemui di 3 buah negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Ramai mungkin beranggapan bahawa Orang Asli adalah golongan yang terpinggir, namun sebenarnya mereka adalah masyarakat eksklusif  yang berpegang teguh kepada budaya, adat dan kepercayaan untuk diturunkan kepada  generasi yang akan datang.

Keunikan mereka juga antara elemen yang mampu mempelbagaikan tarikan pelancongan di negara ini. Apatah lagi Malaysia sememangnya terdiri daripada masyarakat majmuk yang kaya dengan pelbagai kepercayaan, budaya dan bangsa.

Mereka juga sangat mahir dalam menggunakan sumpit untuk berburu di hutan serta menjadikan monyet, tupai, kera dan  burung sebagai sumber makanan. Jika mereka dapati sumber makanan telah hampir habis di tempat itu, mereka bakal berpindah dan mencari penempatan baharu.

Jika anda berkunjung ke penempatan mereka, Orang Asli Batek di sini sangat mengalu-alukan kehadiran tetamu dan teruja untuk menunjukkan kehandalan mereka menghasilkan api daripada bara secara tradisional serta cara menyumpit untuk berburu di hutan.

Malah, anda juga berpeluang untuk belajar menyumpit dengan Orang Asli di sini serta mengambil gambar sebagai kenang-kenangan. Hendak selfie atau wefie dengan mereka pun tidak menjadi masalah sebab mereka cukup sporting dan peramah!

Antara lain yang menarik perhatian tentang Orang Asli di sini adalah rumah tradisional mereka yang dibina menggunakan tumbuhan hutan 100 peratus. Bahan utama yang digunakan bagi membina kediaman unik mereka ini adalah terdiri daripada buluh dan pokok bertam, yang banyak tumbuh meliar di kawasan sekitar.

Buluh yang diperoleh di kawasan kaki bukit kampung Kuala Sat itu ditebang menggunakan gergaji dan dijemur dahulu sehingga kering. Menariknya, bahagian dinding pula dibina berasaskan kulit pokok dan daun bertam yang dianyam kemas dan teliti menggunakan kaedah anyaman tradisional Orang Asli.

Anyaman kulit pokok dan daun bertam itu difahamkan mampu mengawal suhu dalaman rumah dan menjadikannya sejuk serta selesa untuk didiami. Daun pokok bertam pula digunakan mereka sebagai binaan atap rumah yang disusun secara memanjang.

Selepas puas meneroka perkampungan Orang Asli di situ dan tiba masa untuk pulang, anda pasti akan mendengar laungan kanak-kanak Orang Asli menjerit kuat perkataan “Oo elah! Oo elah!” – yang bermaksud selamat pulang.

RIVER @ WATER TUBING

Selepas selesai lawatan ke perkampungan Orang Asli Batek, anda boleh meneruskan aktiviti menarik di Sungai Kuala Sat dengan sukan lasak iaitu ‘River / Water Tubing’ yang cukup digemari ramai, di mana anda akan duduk di atas pelampung dan dibawa arus sungai.

Selepas diberikan tiub pelampung yang bersesuaian dengan saiz badan, anda akan diberi pula penerangan bagaimana untuk mengawal tiub berkenaan ketika berada di atas permukaan air, sebelum seorang demi seorang daripada anda dilepaskan untuk memulakan ekspedisi menelusuri Sungai Kuala Sat. Memang syok habis…

Lepas dah basah lencun bermain water tubing ini, anda boleh juga sambung bermandi-manda di sungai berkenaan.

Jangan risau mengenai isu keselamatan kerana anda akan dibekalkan dengan kelengkapan seperti jaket dan topi keledar oleh operator yang berpengalaman di situ. Operasi di sini turut menyediakan pakej di mana anda akan dibekalkan dengan segala keperluan bagi melakukan aktiviti di sini, termasuklah khemah.

TIPS BERCUTI KE KAMPUNG KUALA SAT :-

1. Perlu diingatkan bahawa tiada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) atau bank di Kuala Sat jadi pastikan anda membawa wang tunai secukupnya sebelum tiba di sini. Tempat terakhir yang boleh anda keluarkan wang adalah di Bandar Jerantut.

2. Tiada juga stesen minyak di sini jadi pastikan minyak kereta anda telah diisi secukupnya di Bandar Jerantut sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Sat.

3. Jika ingin kesini, anda boleh menggunakan aplikasi Waze dan taip sahaja Kampung Kuala Sat,Ulu Tembeling Jerantut atau Santuari Ikan Kampung Kuala Sat dan anda akan terus dibawa tepat ke  destinasi ini.

4. Buat tempahan awal untuk tujuan penginapan dan pakej tour jika ingin bercuti ke Kuala Sat dengan menghubungi 

En Abu Talib Ahmad – Tour Guide & Boat Service

En Alias - Sat Lodge & Services

En Asriey - Sat Expeditions

Jadi tunggu apa lagi, memandangkan bermula 5 Mac lepas Pahang telah berstatus Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan kita pun dah dibenarkan untuk merentas daerah -- orang-orang Pahang bolehlah pergi bercuti ke Kuala Sat bawa anak-anak dan keluarga ‘bermain’ dengan alam. Mesti mereka suka selepas lama kebosanan duduk terperuk di dalam rumah!

Bagi anda yang tinggal di negeri lain, boleh baca dan pakat-pakat kongsi dulu artikel ini dengan kawan-kawan atau ahli keluarga. Bila nanti dah dibenarkan aktiviti rentas negeri, kita melancong ke Kuala Sat dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kerajaan dan praktikkan amalan norma baharu sebagaimana saranan Menteri Pelancongan YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri iaitu “Melanconglah Dengan Selamat”!

Destination: