'Rock Climbing Base Camp' Gua Kelam - Tarikan Pelancongan Baharu Indera Kayangan

June 17, 2022 - 11:59 AM


Wow, siapa sangka negeri terkecil di Malaysia iaitu Perlis bakal memiliki tarikan pelancongan uniknya yang tersendiri iaitu 'Kem Induk Mendaki Batu Perlis @ Gua Kelam'!

Bakal dibuka Disember ini dan dirasmikan pada Januari depan -- kem induk tersebut yang memfokuskan kepada aktiviti mendaki batu di Gua Kelam turut menawarkan kemudahan penginapan yang terdiri daripada 40 bilik dan boleh menampung empat orang sebilik serta 10 khemah premium yang masing-masing mampu memuatkan empat individu.

Kem Induk Mendaki Batu Perlis @ Gua Kelam menyasarkan untuk menjadikan aktiviti ekstrem ini lebih mudah diakses oleh semua melalui kemudahan yang disediakan di kem itu dengan bakat dan peralatan yang betul -- malah mereka turut memiliki tempat latihannya sendiri, Pusat Eco-Adventure bagi membantu orang baru, amatur hinggalah profesional.

Kem itu juga akan merangkumi tempat rehat dan rawat bagi pengunjung serta pendaki iaitu Eco-Adventure Boutique Accommodation -- selain kafe dalam hutan untuk mereka yang ingin menikmati makanan atau minuman ringan.

Kem tersebut memiliki keluasan keseluruhan 23,094 kaki persegi dan kawasan binaan seluas 9,880 kaki persegi.

Idea bagi merangsang sektor pelancongan bertemakan penjelajahan melalui pewujudan kem induk bagi aktiviti mendaki batu di Gua Kelam diilhamkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berhasrat meletakkan Indera Kayangan di peta dunia bagi penggemar aktiviti tersebut.

Manakala kem induk itu diuruskan oleh MyUS Venture Partners Sdn Bhd yang telah menjalin kerjasama rapat dengan pendaki di Perlis dan individu yang sudah biasa dengan laluan pendakian di negeri itu bagi menghasilkan bentuk aktiviti mendaki batu serta pakej pengembaraan.

"Selain aktiviti mendaki batu, memandangkan kami bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Perlis, kami akan berusaha mempromosi alam semula jadi dan persekitaran yang indah di negeri ini dengan pakej lawatan serta pengalaman yang direka khas," menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MyUS Venture Partners Sdn Bhd Group, Datuk Nellsen Young dalam satu kenyataan.

Sumber: BERNAMA

Destination: