10 Ole-Ole Khas Yang Boleh Dibawa Balik Dari Belitung

October 17, 2019 - 04:12 PM


Jika bercuti ke sesebuah destinasi pelancongan, pastinya kita akan membeli beberapa cenderamata untuk dihadiahkan kepada ahli keluarga dan sahabat handai, kan?

Begitu juga sekiranya kita bercuti ke Pulau Belitung, Indonesia.

Menariknya lokasi yang terkenal dengan filem Laskar Pelangi ini memiliki beberapa jenis ole-ole yang sesuai dibawa balik sama ada berbentuk makanan, bahan pewter dan juga batik Belitung.

Berikut ole-ole khas Belitung yang boleh korang beli ketika berkunjung ke sana :-

1) PEWTER

Korang tahu tak sebenarnya Belitung merupakan pengeluar timah terbesar kedua di dunia. Jadi tak hairanlah kalau ke Belitung korang akan nampak banyak pengusaha yang menjual bahan-bahan berasaskan pewter yang dibuat sendiri.

Pelbagai bentuk pewter yang menarik boleh dibeli seperti kapal laut, replika tentera, gelas, pinggan dan sebagainya. Tapi pewter yang paling popular dalam kalangan pelancong adalah gantungan kunci berbentuk peta pulau Belitung sendiri!

 

2) KERANG-KERANGAN

Disebabkan Pulau Belitung memiliki kekayan hasil laut seperti kerang-kerangan, justeru banyak produk berasaskan cengkerang boleh didapati di sana.

Ianya direka dan dihias sendiri oleh penduduk tempatan yang berbakat bagi menyerupai pelbagai jenis haiwan lain seperti penyu, kuda dan burung.

Sangat sesuai dihadiakan kepada kenalan korang yang memang pengumpul barang-barang seni kreatif begitu.

 

3) BATU SATAM

Di Belitung juga sebenarnya sangat popular dengan sebuah batu yang dipanggil Batu Satam. Ia berwarna hitam dan kasar. Kononnya batu tersebut merupakan batu meteorit.

Batu ini dipercayai mampu memberikan efek kesihatan kepada si pemakai. Biasanya Batu Satam dibuat sebagai batu perhiasan seperti cincin dan rantai. Tapi harganya boleh tahan mahal iaitu mencecah ratusan ribu hingga jutaan Rupiah.

 

4) AKAR BAHAR

Selain Batu Satam, ini ada satu lagi ole-ole khas Belitung yang dikatakan mempunyai manfaat untuk kesihatan tubuh badan iaitu Akar Bahar.

Akar Bahar ini dapat melancarkan peredaran darah dan mencegah rheumatik. Ia biasa ditemui di dasar laut perairan Bangka Belitung dan sering dibuat dalam bentuk gelang, rantai atau tongkat. 

 

5) BATIK BELITUNG

Indonesia dan kain bermotif batik sememangnya tak dapat dipisahkan. Namun menariknya batik khas Belitung Timur ini mempunyai motif dan bercirikan daun dan ikan yang dicanting sendiri.

Harga batik Belitung timur boleh didapati dengan harga bermula 200,000 Rupiah hingga jutaan Rupiah.

 

6) SAMBAL RUSIP

Kalau kat Malaysia kita ada Budu dan Cencaluk, di Belitung mereka pun mempunyai produk makanan yang seakan sama iaitu Sambal Rusip. 

Ia merupakan makanan yang dibuat daripada ikan-ikan kecil dan diperap bersama air garam serta gula merah selama seminggu. Sambal Rusip ini mempunyai aroma dan rasa yang memang menjilat jari.

 

7) KEMPLANG

Kemplang ini merupakan makanan ringan iaitu keropok ikan yang mempunyai tekstur padat dan tidak mudah hancur.

Selain ikan, ia juga ada yang diperbuat daripada udang dan ketam. Jadi memang sesuai untuk dibuat jajan dan cenderamata, mesti tak berhenti makan.

 

8) DODOL CEMPEDAK

Kalau korang ada ahli keluarga atau kawan-kawan yang suka makan manisan seprti dodol, mungkin korang boleh belikan Dodol Cempedak untuk mereka.

Dodol yang mempunyai aroma kuat buah cempedak ini antara makanan ringan popular Belitung dan selalu dibeli oleh pelancong sebagai ole-ole.

 

9) SIRUP JERUK KUNCI

Orang kata kalau dah berkunjung ke Belitung, rugi kalau tak cuba atau bawa balik Sirup Jeruk Kunci ini.

Ini kerana buah jeruk kunci yang memiliki ukuran sebesar bola pingpong ini hanya boleh ditemui di Pulau Belitung. Walaupun rasanya mungkin sedikit masam, namun air ini sangat menyegarkan jika diminum pada waktu tengah hari yang panas. 

 

10) ASINAN KELUBI

Siapa kat sini yang kenal dengan buah kelubi? Di Pulau Bangka dan Belitung, buah yang berbentuk seperti buah salak versi kecil ini banyak didapati di hutan kawasan tersebut.

Jeruk buah kelubi ini memang mempunyai rasa yang sangat masam namun cukup menyegarkan mata jika dimakan. Jeruk khas ini memang patut korang bawa balik Malaysia untuk dicuba oleh kawan-kawan yang suka rasa masam.

Macam mana korang dah ada idea untuk belikan ole-ole apa di Belitung nanti? Selamat membeli-belah dan enjoy Belitung!

 

 

Destination: