20 Fakta Menarik Tentang 'Merdeka 118' Yang Bakal Muncul Sebagai Bangunan Kedua Tertinggi Di Dunia Selepas Burj Khalifa

September 03, 2020 - 12:20 PM


Dekat Kuala Lumpur, mesti korang perasan ada satu bangunan baru dalam pembinaan yang tinggi menjulang! Lagi tinggi dari KLCC, TRX & Menara KL.

Tahukah korang, bangunan tu kalau dah siap, ia akan menjadi bangunan KEDUA TERTINGGI DI DUNIA selepas Burj Khalifa, Dubai, UAE!

Nak tahu bangunan mana yang dimaksudkan, ini 20 fakta menarik mengenai bangunan yang bakal menjadi kebanggaan negara di mata dunia seperti yang dikongsikan oleh Twitter Skyscrapers MY.

1) Bangunan ni nama rasminya ialah MERDEKA 118. Juga dikenali sebagai PNB 118. Ia dimiliki dan dibangunkan oleh syarikat pengurusan aset terbesar negara kita, PNB (Permodalan Nasional Berhad).

Menara Tun Razak Exchange (TRX) siap dibina 2019
Merdeka 118 Dijangka Siap Tahun Depan, 2021

2) Sebelum tu, walaupun bangunan ni sama warna biru dengan Menara Tun Razak Exchange (TRX), bangunan ni tiada kaitan langsung dengan TRX. Korang jangan keliru pulak.

Menara TRX dah siap dibina tahun 2019. Sedangkan Merdeka 118 baru nak siap dibina pada tahun depan, 2021.

3) Nama bangunan ni, Merdeka 118 adalah bersempena lokasinya yang terletak di antara Stadium Merdeka & Stadium Negara. 118 tu pula merujuk kepada bilangan tingkat bangunan ni, 118 tingkat.

4) Rekaannya pula bukan biasa-biasa ya... Ia adalah berdasarkan "silhouette" imej Tunku Abdul Rahman sewaktu beliau mengangkat tangan melaungkan "Merdeka!" pada 31 Ogos 1957.

Jadi, spire (tiang) dekat puncak menara ni bukan saja-saja pacak tau, tapi sebab ia melambangkan tangan Tunku Abdul Rahman yang sedang menjulang tinggi.

5) Bangunan ni dari bawah, sampai ke tiang puncaknya, dilitupi dengan kaca yang membentuk seperti kristal. Tapak asas menara ni yang berbentuk diamond adalah dari motif Songket Melayu. Bentuk-bentuk segi tiga pelbagai saiz pada permukaannya pula melambangkan kepelbagaian budaya di Malaysia.

6) Keseluruhan kompleks Merdeka 118 ni dibangunkan dalam 3 fasa :-

- Fasa 1, menara 118 tingkat tu sendiri

- Fasa 2, mall & taman rekreasi

- Fasa 3, tiga buah menara kediaman di sekeliling menara utama.

Fasa 1 & 2 dijangka siap pada 2021, manakala fasa 3 siap pada 2024.

7) Menara Merdeka 118 tu sendiri terdiri dari 3 bahagian; pejabat gred-A, Hotel Park Hyatt & anjung tinjau. Pejabat terdiri dari 83 tingkat, hotel 17 tingkat, manakala 18 selebihnya untuk ameniti seperti anjung tinjau, sky lobby, restoran, ruang VIP dan lain-lain.

8) Empat tingkat teratas menara ni menempatkan anjung tinjau & restoran. Anjung tinjau tersebut dilengkapi teropong seperti yang ada di Menara KL. Jadi, kita boleh menikmati pemandangan bandaraya KL dari paras ketinggian 500m. Anjung tinjau Merdeka 118 ni juga adalah yang TERTINGGI DI ASIA TENGGARA!

9) Untuk naik ke anjung tinjau tu, korang kena naik lif panel kaca yg boleh nampak pemandangan kat luar. Siapa yang gayat tu, mmg kena pejam mata je lah.. Sebab dlm lif ni, dia ada letak sekali cermin kat belakang.

10) Kalau korang nak tau, lif tu juga adalah lif panel kaca yang TERTINGGI DI DUNIA! Nak naik dari tingkat 1 ke tingkat 118 ambil masa hanya 65 saat! Giler laju kannnn!!!

11) Selain itu, di bahagian bawah menara pula menempatkan shopping mall setinggi 7 tingkat.

12) Di bahagian luar, terdapat taman air pancut yang mengalir dari menara sampai ke hujung sepanjang Stadium Merdeka.

13) Nun jauh ke hujung taman pula, disediakan platform untuk orang ramai mengambil gambar. Platform ni berdekatan dengan Stesen Monorel Maharajalela. Kalau turun monorel tu, boleh terus jalan kaki ke sini.

14) Pada waktu malam, menara Merdeka 118 akan dinyalakan dengan "light strip" yang bercahaya & bergerak dari bucu ke bucu. Ia akan memberi pencahayaan yang berbeza dan futuristik jika dibandingkan dengan bangunan-bangunan lain di Kuala Lumpur.

15) Arkitek kepada Merdeka 118 ini adalah Fender Katsalidis yang berasal dari Australia. Mereka ini terkenal dengan Eureka Tower yang pernah menjadi bangunan tertinggi di Australia.

16) Setakat Ogos 2020, teras menara Merdeka 118 sudah pun berjaya mencecah tingkat tertingginya iaitu pada tingkat 118.

Bangunan ini dirancang seawal tahun 2009, kemudian mula dibina pada 2014. Bermula dari 2018, menara ini dibina setingkat demi setingkat sehinggalah kepada parasa terakhirnya tingkat 118.

17) Tahun 2019, apabila bangunan ni semakin meninggi, ia mula jadi perhatian. Kebetulan pula tahun lepas, dividen ASB adalah yang paling rendah dalam sejarah. Maka, ramai yang membuat dakwaan bahawa pembinaan menara mega ini sebagai puncanya.

18) Sedangkan, Merdeka 118 ni adalah pelaburan hartanah untuk PNB yang memakan masa sekurang-kurangnya 10 tahun untuk 'break-even'. Punca dividen ASB rendah adalah disebabkan pasaran saham Bursa Malaysia yang menjunam teruk pada 2019 dan tiada sebarang kaitan dengan menara tersebut.​

19) Merdeka 118 bakal siap dan dibuka kepada umum pada tahun 2021. Ketinggiannya yang mencapai 635 meter menjadikannya sebagai bangunan tertinggi di Malaysia, tertinggi di Asia Tenggara & KEDUA TERTINGGI DI DUNIA.

20) Namun, ada ura-ura yang mengatakan ketinggiannya akan ditingkatkan sehingga mencapai 678.9 meter. Mengenai hal itu, sama-sama kita nantikan...

Sumber: Twitter Skyscrapers MY 

 

Destination: