5 Bandar Di Dunia Paling Meriah Untuk Melancong Pada Aidilfitri

May 11, 2021 - 05:53 PM


Memang betul waktu raya ni semua lebuhraya pun akan sesak dengan kenderaan menghala keluar dari Kuala Lumpur untuk balik kampung, dan waktu raya lah kampung akan menjadi sangat meriah. Tetapi, bagi mereka yang lebih berkemampuan, selalunya mereka akan menggunakan cuti panjang Aidilfitri untuk membawa satu keluarga keluar negara, melancong sambil menyambut lebaran. 

Setiap negara mempunyai budaya dan adat yang berbeza, menjadikan sambutan perayaan mereka sedikit berbeza walaupun kita menyambut perayaan agama yang sama, agama Islam. Bagi perayaan Aidilfitri, ada beberapa bandar di dunia yang dianggap antara bandar-bandar paling meriah untuk melancong dan menyambut hari raya Aidilfitri. 

Berikut adalah 5 bandar paling meriah ketika Aidilfitri: 

London, United Kingdom

Tidak seperti di Malaysia, sambutan Aidilfitri tidak digazetkan sebagai cuti umum di London, namun masyarakat Muslim yang besar di sana turut menyambut Aidilfitri di sana dengan meriah, menjadikan perayaan ini satu perayaan yang penting di London. Solat sunat Aidilfitri mereka selalunya memenuhi masjid, dan mereka trut melakukan aktiviti menziarahi kubur, selain ziarah menziarahi rumah saudara mara dan rakan-rakan. 

Antara yang menjadi tarikan untuk pelancong pula, kalau korang melancong ke sini pada Aidilfitri, korang akan berpeluang untuk menyertai acara sambutan tahunan Festival Eid di Dataran Trafalgar, di mana korang akan disajikan dengan persembahan yang menarik, dan juadah yang enak dari pelbagai negara. 

New York, Amerika Syarikat 

Bandar New York setiap tahun memberikan peluang untuk umat Islam di sana untuk mengakhiri bulan Ramadan dengan macam-macam aktiviti. Upacara keagamaan Islam turut diadakan sepanjang hari ketika Aidilfitri di New York. 

Bagi pelancong, korang berpeluang untuk melawati masjid yang terbesar di New York yang terletak di Pusat Kebudayaan New York, serta Muzium Bandar New York yang bakal menyajikan korang dengan pelbagai tradisi kebudayaan Islam di sana melalui artis tempatan dan koleksi seni. 

Kalau korang perhatikan Empire State Building turut disinari dengan cahaya berwarna hijau menandakan Aidilfitri. 

Istanbul, Turki

Korang pun tahu yang Istanbul memang terkenal dengan masyarakat Islam mereka, jadi memang tak hairan yang dorang menjadi pilihan pelancong untuk menyambut Aidilfitri. 

Antara yang menarik di Istanbul adalah kalau korang berada di sana pada bulan Ramadan, korang akan dikejutkan dengan persembahan gendang yang dimain sebagai tanda waktu sahur. Hari Raya Aidilfitri di sana turut dikenali sebagai 'Seker Bayram' atau Festival Manisan disana, jadi korang akan berpeluang untuk merasai manisan seperti baklava. 

Antara aktiviti lain yang menjadi aktiviti Aidilfitri mereka di Istanbul adalah berkelah dengan manisan dan juadah raya beramai-ramai di Hagia Sophia dan Masjid Biru di Dataran Sultanahmet. 

Arab Saudi

Arab Saudi sentiasa menjadi destinasi pilihan apabila topiknya berkenaan dengan Islam. Bagi Aidilfitri, penduduk tempatan di sana menyambutnya lebih kurang seperti kita di Malaysia, balik ke kampung, ziarah menziarahi, pakai bajubaru, dan sebagainya. 

Namun, apa yang menarik adalah, di tengah-tengah pusat bandar Balad, korang berpeluang untuk meyertai Festival Jeddah Bersejarah yang akan mengimbas kembali cara Aidilfitri diraikan pada zaman dulu. Selain itu sudah tentulah korang boleh mengisi 1 Syawal dengan beribadat di Masjidil Haram ataupun Masjid Nabawi. 

Srinagar, Kashmir

Srinagar menjadi bandar yang menarik untuk korang menyambut hari raya kerana solat sunat Aidilfitri berjemaah terbesar di Sringar diadakan di Masjid Hazratbal yang dipercayai tersimpan rambut peninggalan Nabi Muhammad S.A.W.

Selain itu, pada pagi raya, korang akan dihidangkan dengan manisan seperi kurma dan seviyan iaitu sejenis puding bihun dengan susu, air, dan kacang yang akan dihidangkan untuk sarapan. Korang juga boleh menikmati hidangan tempatan seperti naan Kashmir, kebab kahwah, noon chai, dan seumpamanya di sepanjang jalan Lal Chowk, medan selera yang terkenal di Kashmir.

Jadi, itu dia 5 destinasi yang meriah untuk korang sambut Hari Raya Aidilfitri kalau dah jemu balik kampung, dan mungkin nak cuba ke luar negara pula untuk beraya. Tapi nampaknya rancangan tu korang kena push sampai tahun depan lah... ataupun 2-3 tahun depan. Hehe