Abi Agro - 'Mini Cameron Highlands' Tarikan Terbaharu Di Perlis

February 10, 2022 - 03:58 PM


Apabila disebut sahaja 'Cameron Highlands' semua pasti terbayang pelbagai jenis sayuran tumbuh subur dan segar yang terdapat di tanah tinggi itu.

Namun penduduk Perlis kini tidak perlu lagi pergi jauh untuk merasai pengalaman itu, apabila sebuah kebun hidroponik yang dikenali sebagai "Abi Agro" di Kampung Tengah, Abi -- menyediakan peluang unik kepada pengunjung untuk memetik dan menimbang sendiri pelbagai jenis sayuran.

Kebun milik anak jati Abi itu tular di media sosial menyebabkan tanaman habis dijual ketika cuti sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, dan sehingga kini pengujung tidak putus-putus datang ke ladang itu.

Pemiliknya Mohd Ashraf Shuib berkata sambutan luar biasa daripada pengunjung, memberi semangat untuk beliau menambah baik kebun seluas 0.2 hektar yang diusahakan sejak 2017 itu.

"Ada pengunjung yang mengelar kebun ini sebagai 'Cameron Highlands Mini'. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua kerana memberi sokongan kepada Abi Agro.

"Dan kami berazam untuk menambah lebih banyak lagi jenis sayur dan bunga secara berperingkat, bagi memberi kepuasan kepada pengunjung," katanya kepada Bernama di sini.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata antara produk pertanian yang terdapat di kebunnya ialah sawi, pak choy, daun sup, ikan keli dan beberapa jenis bunga vinca gantung.

Pada peringkat permulaan beliau hanya hasilkan sayuran untuk dijual kepada pembekal, namun menukar strategi kepada agropelancongan pada 2020.

"Sejak daripada itu, ramai orang mula datang ke kebun bagi merasai sendiri pengalaman memilih, memetik dan menimbang sayuran yang dibeli oleh mereka," katanya.

Mohd Ashraf berkata beliau memilih agropelancongan kerana ia bukan hanya untuk mendapat keuntungan semata-mata sebaliknya dapat mendidik masyarakat khususnya generasi muda mendekati dunia pertanian.

"Saya rasa seronok apabila dapat melihat ada ibu bapa yang membawa anak mereka ke kebun Abi Agro.

"Mereka datang ke sini memberi pendedahan kepada anak mereka cara memetik sayuran.

"Ia secara tidak langsung dapat mengajar anak-anak tentang asas pertanian," katanya yang merupakan siswazah jurusan pembangunan manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang.

Beliau juga telah menghasilkan sebuah buku berjudul Teknik Hidroponik bagi memberi galakan kepada orang ramai mencuba teknik tamanan secara hidroponik di rumah dengan menggunakan barang terpakai.

"Teknik ini (hidroponik) ini sebenarnya mudah dan sesiapa sahaja boleh mencubanya kerana ianya mudah dan mampu menjana pendapatan yang lumayan," katanya yang sedia berkongsi pengalaman dengan orang ramai.

Sumber: BERNAMA

Destination: