Arab Saudi Lancar Sentuh Hajar Aswad Secara Maya

December 16, 2021 - 12:19 PM


Wabak Covid-19 bukan sahaja mengubah normal rutin harian kita di seluruh dunia, malah menukar cara kita beribadah termasuk ketika menunaikan Rukun Islam kelima iaitu melaksanakan Haji di Mekah.

Kalau dahulu sebelum Covid-19 melanda, para jemaah berebut-rebut ingin mencium Hajar Aswad di Kaabah -- namun demi mengelak jangkitan pandemik Arab Saudi melancarkan inisiatif baharu iaitu menyentuh Hajar Aswad secara maya!

Inisiatif "Virtual Black Stone" yang dilancarkan oleh pihak berkuasa Jabatan Tapak Suci Islam itu, membolehkan batu hitam tersebut disentuh secara maya menerusi kemudahan teknologi realiti maya atau VR.

Menerusi akaun rasmi Twitter Penjaga Ehwal Dua Masjid Suci memaklumkan bahawa Presiden Umum Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr. Abdul Rahman bin Abdulaziz Al-Sudais melancarkan inisiatif tersebut di pejabatnya.

Inisiatif (Virtual Hajar Aswad) itu dilancarkan oleh Agensi Hal Ehwal Pameran dan Muzium, yang diwakilkan oleh Pentadbiran Am Pameran Digital, dengan kerjasama Institusi Penjaga Dua Masjid Suci bagi Kajian Haji dan Umrah di Universiti Umm Al-Qura.

Al-Sudais berharap inisiatif tersebut dapat memanfaatkan realiti maya (VR) dan pengalaman digital untuk mewujudkan simulasi keadaan sebenar.

Beliau juga menekankan pentingnya untuk mewujudkan suasana alam maya untuk merangsang sebanyak mungkin deria seperti daya penglihatan, pendengaran, sentuhan dan suasana di sekelilingnya.

Sumber: Berita.mediacorp.sg

Destination: