Belayar di Tasik Timah Tasoh, Tarikan Terbaharu Bercuti Ke Perlis!

April 15, 2022 - 02:32 PM


Biarpun Perlis negeri yang terkecil di Malaysia, namun banyak lokasi dan aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini.

Antara lokasi yang menjadi tumpuan adalah Tasik Timah Tasoh.

Tasik buatan manusia ini menjadi empangan saliran terbesar di Perlis turut menjadi lokasi tarikan pelancongan dari dalam dan luar negara.

Berlatarkan Bukit Cabang dan Banjaran Nakawan yang bersempadan dengan Thailand, tasik ini menyajikan pemandangan menakjubkan kepada pengunjungnya.

Jadi, tidak hairan pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan termasuk berkhemah, berkayak dan memancing.

Bagi yang inginkan kelainan, anda boleh mencuba aktiviti menaiki perahu layar Hobie Catamaran Gateway.

Menggunakan kuasa angin, pengunjung berpeluang belayar di sekitar kawasan tasik sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Pengasas bersama Hermission Sdn Bhd, Sharifah Nadiah Wafa Syed Mohd Thalal Wafa berkata, Tasik Timah Tasoh amat sesuai untuk aktiviti ini kerana ia dikelilingi bukit dan keindahan alam semula jadi yang unik.

"Selain itu, keadaan cuaca dan air yang lebih tenang membuatkan ia sesuai untuk aktiviti riadah belayar bersama keluarga.

"Pada masa sama, ia turut sesuai bagi mereka yang berminat untuk mempelajari ilmu pelayaran," katanya.

Menurutnya, aktiviti pelayaran di Tasik Timah Tasoh ini memberi 'pengalaman' seperti orang dulu-dulu yang belayar dari satu tempat ke tempat yang lain.

"Di sini anda dapat merasai pengalaman menjejak kembali Kampung Tasoh yang ditenggelamkan untuk dijadikan empangan," katanya.

Aktiviti ini sesuai dan selamat untuk semua lapisan usia termasuk dewasa dan kanak-kanak.

"Hobie Catamaran Gateaway mempunyai dua 'hull' membuatkan ia sangat stabil dan selamat untuk dinaiki semua orang. Ia boleh membawa maksimum empat penumpang pada satu-satu masa," katanya.

Mengulas lanjut, waktu yang paling sesuai untuk melakukan aktiviti pelayaran adalah berlainan mengikut musim angin sepanjang tahun.

Bagaimanapun, secara amnya waktu yang sesuai antara jam 12 tengah hari sehingga 7 malam kerana pada ketika itu, angin agak konsisten untuk belayar.

Sharifah Nadiah Wafa mengakui, kesedaran masyarakat terhadap aktiviti rekreasi pelayaran ini masih kurang kerana kurang diberikan pendedahan, kurang mendapat akses dan kos yang tinggi.

"Menyedari perkara itu, kru kami yang terdiri daripada atlet pelayaran Perlis dan negara mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan ini bagi memberi pendedahan kepada orang ramai berkenaan aktiviti pelayaran ini.

"Alhamdulillah setakat ini, kami mendapat maklum balas positif dan mereka gembira dengan pengalaman baharu apabila dapat belayar di sekitar Tasik Timah Tasoh," katanya.

Sumber: Harian Metro & Kredit Foto: HerMission House

Destination: