Berita Baik! Feri Laju Percuma Pulau Pinang Diteruskan Hingga Hujung 2022

December 20, 2021 - 05:22 PM


Kerajaan negeri memutuskan untuk melanjutkan khidmat feri penumpang secara percuma kepada orang ramai untuk ke Pulau Pinang sehingga hujung tahun 2022 depan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Zairil Khir Johari berkata program feri percuma yang dilancarkan sejak 1 Julai lalu, diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban kos perjalanan rakyat yang berulang-alik menggunakan pengangkutan awam.

“Digandingkan pula dengan program Pas Mutiara bagi perkhidmatan Rapid Penang, ia sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebagai satu-satunya negeri melibatkan jaringan pengangkutan awam, sama ada melalui air atau darat, secara percuma.

“Pembiayaan tambang feri kepada penumpang pejalan kaki ini melibatkan peruntukan RM78,000 sebulan membabitkan 65,000 tiket sebulan.

Jumlah keseluruhan peruntukan dianggarkan RM936,000 bagi tahun 2022,” katanya pada sidang media mengenai pengumuman tersebut hari ini.


Jika anda ingin menikmati perkhidmatan feri percuma ini, anda hanya perlu membawa MyKad dan imbas di peranti pengimbas MyKad yang disediakan oleh pihak Penang Port Sdn Bhd untuk mendapatkan tiket percuma sebelum menaiki feri.

Untuk rekod -- bilangan penumpang feri sudah mula meningkat sejak kerajaan melonggarkan perintah kawalan pergerakan, dengan bilangan penumpang feri pada bulan November naik kepada 63,239 orang berbanding 45,241 orang pada bulan Oktober dan 23,371 orang pada bulan September.

Sumber: Bernama

Destination: