Bertuahnya Suami Isteri Ni Dapat 'Bermanja' Dengan Ikan Lumba-Lumba Di Tioman

TARIKAN
July 24, 2020 - 03:05 PM


Berapa ramai antara kita yang pernah melihat ikan lumba-lumba bebas berenang di lautan dalam jarak dekat dan bukannya dari sangkar zoo semata-mata?

Mesti tak ramai, kan? Namun sepasang suami isteri dari Pulau Tioman ini sangat bertuah apabila mereka berpeluang menyaksikan sendiri sekawan ikan lumba-lumba sekitar 20 ekor 'bermain-main' di sekeliling bot mereka pada 12 tengah hari Rabu lepas (22 Julai 2020).

Mohd Faisal Safuan Saridan yang juga seorang pengurus sebuah resort di Pulau Tioman berkata rakaman klip video ikan lumba-lumba itu yang tular di laman sosial itu dirakam semasa beliau bersama isteri dan dua kru resort menaiki bot dari Kampung Tekek untuk pulang ke Kampung Juara di pulau tersebut. 

"Saya melihat ada kelibat ikan lumba-lumba dari jauh dan terus membuat keputusan untuk cuba menghampiri kumpulan ikan tersebut walaupun tahu kemungkinan besar ikan itu akan melarikan diri. Tak sangka jumlahnya sangat banyak iaitu sekitar 20 ekor. 

"Kumpulan ikan itu juga tidak terganggu dengan kehadiran kami, sebaliknya terus bermain di bawah bot selain turut mengikut pergerakan bot selama lebih lima minit sebelum kawanan ikan itu pergi," katanya.

Mohd Faisal Safuan, anak jati Pulau Tioman, berkata air laut yang jernih juga menyebabkan rakaman ikan tersebut jelas kelihatan dan paling menarik ikan-ikan itu juga 'bergurau' dengan menyentuh jari mereka apabila diletakkan di permukaan air.

Beliau juga mengakui tidak menyangka tiga klip video yang dimuat naik di laman Facebook Juara Mutiara Resort dan akaun Facebook milik isterinya, Nurul Huda Sani menjadi tular dan mendapat reaksi positif daripada netizen yang turut teruja mengetahui kewujudan ikan lumba-lumba di Pulau Tioman. 

"Saya tahu ikan lumba-lumba ada di perairan sekitar Pulau Tioman, namun sangat sukar untuk dijumpai. Malah, ini merupakan kali keempat saya berpeluang jumpa ikan tersebut walaupun memang membesar di pulau ini. 

"Tapi, kejadian semalam yang paling manis dan rezeki kerana selain jumlahnya yang banyak, ikan yang saya jumpa semasa memancing atau membawa bot semuanya dari jarak jauh dan pantas melarikan diri jika menyedari kehadiran bot," katanya. 

Sumber & Kredit Gambar: Bernama

Kredit Video: FB Juara Mutiara Resort

Destination: