Cantiknya Surau 'Langgar Rindu' Kat Terengganu Ni. Unik & Istimewa!
Banyak masjid dan surau di negara kita yang dibina dengan pelbagai tema serta rekaan yang unik bagi menggamit kehadiran pengunjung sama ada untuk melawat atau beribadat di situ.
Jika anda bercuti atau berkunjung ke Terengganu, jangan lupa untuk singgah ke sebuah surau kayu yang cukup indah seni binanya yang diberi nama 'LANGGAR RINDU'!
Surau yang terletak di Kampung Rhu Tapai, Merang, Kuala Terengganu ini dibina untuk diabadikan sebagai rumah ibadat bagi komuniti setempat serta persinggahan bagi mereka yang bermusafir untuk menunaikan solat.
Surau berukuran 1,064 kaki persegi ini sebenarnya milik seorang penggiat seni bernama Abdul Karim Embong, 60 tahun.
Kayu pokok tembesu terbuang serta kayu cengal hasil sumbangan orang ramai digunakan sebagai bahan binaan asas surai ini yang hanya dipasak dan disambung menggunakan skru.
Lebih menakjubkan, kerja-kerja pembinaan surau yang dibina tanpa sebarang lakaran pelan itu bermula sejak Mac 2014 dan kini sudah pun 70 peratus siap.
"Ada kalanya pembinaan surau ini tergendala kerana masalah kewangan, namun saya bersyukur kerana niat saya untuk membina rumah ibadat ini mendapat sokongan daripada individu yang prihatin dan dermawan yang tampil menghulurkan sumbangan wang tunai atau bahan binaan.
“Terbaru, saya terima kayu tembesu berusia sekitar 300 tahun yang akan saya guna untuk tambah kira-kira 280 kaki persegi lagi pada bahagian surau ini,” kata Abdul Karim yang menganggarkan nilai keseluruhan binaan surau itu mencecah RM100,000.
Berbaju lusuh dan bertongkat, Abdul Karim atau lebih mesra disapa sebagai Pok Su berkata, berkat sokongan banyak pihak termasuk anak-anaknya berjaya membantu merealisasikan impiannya untuk membina surau itu.
Selain surau, aktivis seni itu juga sedang membina sebuah pusat pengajian Islam dinamakan Madrasah Al-Insan Saka Iman berhampiran surau berkenaan bagi menempatkan 50 orang pelajar untuk mendalami ilmu agama.
Abdul Karim turut berkongsi inspirasi sehingga mendorong beliau menamakan surau miliknya itu sebagai Langgar Rindu.
Katanya, gelaran itu agak jarang digunakan masyarakat Melayu sebaliknya terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu dagang terdiri daripada suku kaum Boyan.
“Langgar mempunyai empat makna antaranya pelanggaran, surau atau madrasah, tempat pengajian agama, kawasan pemakaman diraja serta bumbung rumah mempunyai anjung disambung dari bumbung asal.
“Jadi, bagi memperkayakan dan mencantikkan lagi bahasa kita, saya memilih untuk menggelar rumah ibadat ini sebagai 'langgar' yang bermaksud surau," katanya.
Menurutnya, 'Rindu' pula bermaksud rindu kepada rumah ALLAH SWT, rindu untuk beramal sebagaimana ajaran Nabi Muhammad SAW.
"Selain itu, rindu untuk membaca al-Quran, rindu kepada kematian serta rindu untuk membuat segala kebaikan. Jadi, saya abadikan nama ini untuk sebuah rumah ALLAH SWT yang saya namakan Langgar Rindu,” katanya.
Sementara itu, anaknya, Muhammad Alif, 31 tahun berkata, bapanya menyuarakan hasrat untuk membina surau itu sejak 2010, namun dia tidak menyangka bapanya mampu membina surau itu yang dibina tanpa sebarang lakaran.
“Ayah saya seorang yang ‘degil’ dan bersemangat tinggi. Saya masih ingat dia masuk ke hutan seorang diri untuk tebang pokok, kutip batang pokok terbuang yang ditinggalkan malah angkut sendiri batang kayu atas bumbung kereta.
“Tak sangka pula surau ini kini mendapat perhatian dan tumpuan ramai kerana apa yang dibuat ini bukan untuk mengejar populariti atau sebaliknya, hanya untuk kemudahan komuniti setempat di kampung ini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian & Kredit Gambar: FB Ateh Sembang