Fantasia AquaPark Kembali Dibuka 2 Disember Ini, Promo Tiket RM18 Sahaja!

November 29, 2021 - 12:24 PM


Bagi anda yang mempunyai perancangan untuk bercuti ke Kedah pada bulan Disember ini dan tidak tahu nak bawa anak-anak beriadah ke mana -- anda boleh bawa mereka bergembira di Taman Tema Air Fantasia AquaPark!

Ini kerana bermula 2 Disember ini taman tema yang terletak di Jitra itu akan kembali beroperasi, selepas ditutup beberapa bulan ekoran pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Menariknya selain berwajah baharu dengan beberapa penambahbaikan kemudahan untuk keselesaan pengunjung, Fantasia AquaPark juga bakal menawarkan promosi harga tiket masuk hanya RM18 bagi semua kategori pengunjung -- kecuali warga emas serta orang kurang upaya (OKU) dikenakan bayaran RM12 manakala percuma bagi kanak-kanak berusia 2 tahun ke bawah.

Paling best, taman tema berkenaan juga menyediakan 2 tarikan baharu iaitu Rumah Gergasi Musang King dan pusat refleksologi yang dikendalikan OKU.

Sebelum ini, Fantasia AquaPark yang berkeluasan 4.5 ekar itu memiliki lima tarikan sedia ada -- iaitu 'Children Splash Pad', 'Twin Water Slide', 'Lazy River', 'Water Cave' dan kolam utama.

Walaupun kapasiti taman tema berkenaan boleh menampung hingga 500 pengunjung pada satu-satu masa, tetapi pihak pengurusan mengehadkan jumlah pengunjung kepada 50 peratus daripada jumlah itu bagi membolehkan penjarakan fizikal antara pengunjung.

Semua pekerja taman tema itu telah lengkap divaksinasi COVID-19 dan telah menyertai kursus pertolongan cemas bagi membantu pengunjung sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Persediaan menyeluruh telah dilakukan terutama dari segi kebersihan dan keselamatan bagi mematuhi SOP ditetapkan.

Pengunjung akan diperiksa suhu dan perlu memakai pelitup muka sepanjang berada di kawasan taman tema ini kecuali sewaktu melakukan aktiviti air.

Sumber: BERNAMA & Kredit Gambar: Destinasi Percutian

Destination: