Galeri Wau Pak Sapie & Sons - Terbang Dari Kelantan Ke Seluruh Dunia

November 26, 2020 - 09:47 PM


Ada antara korang yang reti bermain wau atau peminat tegar tradisi turun temurun di negeri Cik Siti Wan Kembang tu? Kalau macam tu, semestinya Galeri Wau Pak Sapie & Sons yang cukup terkenal ni. Galeri yang dibuka pada tahun 1980an itu cukup terkenal bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara. Tidak hairanlah ada antara wau disini dijual pada harga ribuan ringgit.

Siapa yang tidak Sapie Jusoh atau nama gelaran beliau Pak Sapie di negeri Kelantan ni. Pendek kata, kalau korang sebut saja nama beliau disini, semua orang tahu. Di atas kemahiran pak sapie dalam membuat wau ni, beliau pernah dinobatkan sebagai Adiguru Kraf Wau pada tahun 2006. Bukan itu sahaja, Pak Sapie juga merupakan salah satu rakyat Malaysia yang pernah ke luar negara bagi mempromosikan hasil ciptaan beliau itu. Wahh, mengharumkan nama negara dengan pembuatan wau, luar biasa kan.

Kalau korang nak tahu siapa sebenarnya Pak Sapie ni, boleh google “The Last Kite Maker” di mana korang akan lihat dokumentari tentang Pak Sapie ini yang dibuat oleh Maxis. Banyak lagi lah dokumentari-dokumentari lain yang dibuat tentang kisah hidup beliau sehinggakan ada juga dokumentari itu ditayangkan di luar negara.

Sayang sekali, umur pak sapie tidak panjang, beliau meninggal dunia pada 2018 kerana serangan jantung. Namun, legasi beliau kini disambung oleh anaknya, Wan Anuar, anak bongsu kepada pembuat wau terkemuka itu. Galeri Pak Sapie masih lagi berjalan seperti biasa. Malahan bilangan pengunjung yang hadir juga tidak berkurang. Di galeri ni, pengunjung yang berminat boleh membeli wau yang dingini dengan harga serendah RM100. Selain itu, galeri ini juga turut mempamerkan pelbagai koleksi wau dari zaman Pak Sapie lagi sehingga sekarang. Pelbagai koleksi lah yang ada seperti wau bulan, wau puyuh, wau jala budi, wau kucing dan wau sobek. Mesti ada antara nama wau ni korang tak pernah dengar kan.

Sekiranya korang rasa teringin nak melihat keindahan ciptaan wau yang dihasilkan oleh mereka ni boleh datang ke Galeri Pak Sapie & Sons yang terletak di Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan. Siapa lagi kalau bukan kita yang menghargai hasil seni ciptaan tempatan ni kan. Sebab budaya kita kan wajah kita.

Destination: