Jepun Cipta 'Kenderaan 2 Mod' Pertama Di Dunia, Boleh Jadi Bas & Kereta Api!

December 30, 2021 - 06:28 PM


Jepun sememangnya terkenal dengan pelbagai inovasi teknologi terkini yang sering menggemparkan dunia.

Terbaharu, negara matahari terbit itu muncul dengan kenderaan pertama di dunia yang berfungsi sebagai sebuah bas dan juga kereta api.

Istimewanya pengangkutan awam Jepun ini menyerupai sebuah bas mini, tetapi ia boleh bergerak di atas jalan raya mahupun landasan kereta api.

Apabila di jalan raya, ia menggunakan tayar getah biasa. Namun, tayar besi akan digunakan apabila kenderaan itu perlu berfungsi sebagai kereta api.

Kenderaan dipanggil DMV ini boleh membawa sehingga 21 penumpang.

Ia mampu bergerak pada kelajuan 60 kilometer sejam di laluan kereta api dan sepantas 100 kilometer sejam di jalan raya.

Para penduduk di Tokushima, Kaiyo, sudahpun mula menikmati pengangkutan canggih ini.

"Kenderaan biasa hanya boleh dipandu di jalan raya atau landasan kereta api, tetapi DMV ini boleh dinikmati penduduk tempatan yang ingin menaiki bas mahupun mereka yang ingin menaiki kereta api. Terutama sekali di kawasan-kawasan luar bandar di mana masyarakatnya kian menua, kami menjangkakan ini akan menjadi satu cara pengangkutan yang bagus," kata Ketua Pegawai Eksekutif ASA Coast Railway Company, Shigeki Miura.

Sumber : Media Corp Sg

Destination: