Johor Bakal Miliki Tarikan Pelancongan Baru, Pusat Santuari Gajah Yang Dibuka 2025

October 21, 2021 - 04:29 PM


Seperti sedia maklum, Johor kaya dengan destinasi percutian menarik untuk dikunjungi sama ada pantai, pulau, taman negara, lokasi sejarah, tempat makan best dan pusat membeli-belah popular.

Tetapi kalau korang nak tahu tidak lama lagi, negeri di selatan tanah air itu bakal memiliki satu lagi tarikan pelancongan baharu iaitu sebuah Pusat Santuari Gajah (JES) di Kota Tinggi.

Pengumuman mengenai penubuhan santuari gajah tersebut disiarkan menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini (21 Okt).

Dalam posting berkenaan, Sultan Johor bertitah bahawa santuari gajah berkenaan berupaya meningkatkan kualiti habitat haiwan tersebut.

Malah tujuan ia dibina juga antara lain bagi memperkasakan pengurusan gajah di Johor dengan mengurangkan masalah gangguan gajah-gajah liar di kawasan pertanian serta penempatan.

Santuari itu turut berperanan menyediakan peluang aktiviti berasaskan eko-pelancongan lestari dan mampu menjana sosio-ekonomi penduduk setempat.

Komponen pembangunan yang telah disiapkan dalam Fasa 1 bakal meliputi :

- Padok Gajah

- Padang Ragut

- Jambatan

- Jalan Masuk Utama

- Bangunan Pentadbiran

- Berek Pekerja

Manakala untuk Fasa 2 bagi tempoh 2020 sehingga 2025 pula bakal merangkumi pembinaan : 

- Aktiviti kemudahan pelawat

- Pemantauan pagar elektrik serta kelengkapan

- Sistem amaran awal

- Pembangunan lanskap

- Program bersama penduduk setempat

- Dataran pelawat akan turut menempatkan surau, kedai cenderahati, kafe, laluan siar kaki, mercu tanda, taman permainan, wakaf dan pelbagai kemudahan lagi.

Pusat santuari berkenaan dijangka dibuka kepada orang awam selepas berakhirnya Fasa 2 pada tahun 2025 bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengunjung.

Sultan Johor sebelum itu menerima mengadap Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil dan Pengarah Perhilitan Johor, Aminuddin Jamin di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru.

Pada pertemuan itu, Aminuddin turut mempersembahkan taklimat pelaksanaan dan perkembangan penyelarasan Projek Santuari Gajah Johor kepada Sultan Ibrahim.

Sumber: Facebook Sultan Johor 

Destination: