Johor Pecah Rekod Jadi Negeri Pertama Guna 'ART' Di Malaysia!

January 25, 2021 - 12:56 PM


Johor bakal menjadi negeri pertama menggunakan Autonomous Rail Rapid Transit (ART) atau sistem bas berpandu tanpa rel di kawasan Iskandar Malaysia sebagai projek perintis penggunaannya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri berkata, sistem tersebut untuk pengangkutan di bandar itu adalah sebahagian daripada projek di bawah Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT).

Katanya, bas yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluar dari luar negara itu sudah berada di negeri ini dan kini berada di peringkat akhir rekaannya.

“Kita sudah menerima satu model bas tetapi ada beberapa syarikat lain yang akan mempamer model bas mereka untuk kerajaan negeri melihat versi mana yang sesuai dan dapat kita gunakan untuk IMBRT.

“Kerajaan negeri juga pada peringkat akhir mengeluarkan tender untuk IMBRT termasuk di peringkat reka bentuk untuk stesen,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja membaik pulih Lebuhraya Pasir Gudang.

Mohd. Solihan berkata, sistem pengangkutan berkenaan mempunyai beberapa gerabak yang akan bergerak di atas jalan sedia ada yang telah ditetapkan.

Jelasnya, kerajaan negeri juga sudah mengenal pasti semua laluan yang akan digunakan dan penyelarasan untuk projek IMBRT sebelum mengumumkan butiran lebih lanjut mengenai projek itu dalam masa terdekat.

Kerajaan Pusat menerusi Belanjawan 2021 menyalurkan peruntukan sebanyak RM780 juta untuk Johor dengan sebahagian daripadanya untuk projek IMBRT berkenaan.

Projek pengangkutan awam itu bertujuan mengurangkan kesesakan, merangsang ekonomi setempat dan mengurangkan kos sara hidup di kawasan bandar Johor Bahru terutama 90 peratus penduduk sekitar Iskandar Malaysia.

Bagi fasa pertama, sepanjang 51 kilometer laluan bas telah dibina dengan dilengkapi stesen bas sebanyak 19 buah di Tebrau, 13 buah di Skudai dan 7 buah di Iskandar Puteri.

Lebih 750 bas akan berkhidmat di sepanjang laluan itu melibatkan tiga jenis bas dengan kapasiti penumpang yang berbeza dilengkapi dengan sistem keselamatan seperti Kamera Litar Tertutup (CCTV) dalam bas dan stesen bas.

Setiap perjalanan akan dipantau pusat kawalan untuk memastikan perjalanan setiap bas mengikut jadual yang ditetapkan dengan sistem bayaran menggunakan tunai dan kad.

Projek itu merupakan yang pertama di negara ini setelah sebanyak 165 bandar raya di dunia sudah menggunakan sistem perkhidmatan tersebut antaranya di Jakarta, Paris, Seoul, New York, Istanbul, Brisbane, Guangzhou dan Zurich.

Sumber: UTUSAN ONLINE

 

Destination: