Jom "Playing Tourist" Pusing KL, Guna Pakej Jejak Makanan Warisan KL & Pas MyCity!

December 23, 2019 - 11:21 AM


Siapa dekat sini yang nak merasai pengalaman ala-ala "playing like a tourist" di ibu kota Kuala Lumpur?

Kalau korang nak melihat secara dekat atau mengenali sisi berbeza ibu negara kita ini, korang patut cuba merasai sendiri promosi terbaharu yang dilakukan pihak Tourism Malaysia bersama Prasarana Malaysia Bhd dan MRT Corporation menerusi 'Jejak Makanan Warisan KL & Pas MyCity'!

Jejak Makanan Warisan KL bakal menawarkan lawatan yang membolehkan pelancong meneroka Kuala Lumpur secara berjalan kaki dan melihat secara dekat dengan bantuan pemandu pelancong yang mempunyai pengetahuan luas, berkaitan kawasan berkaitan.

Di sepanjang perjalanan itu, pelancong akan dibawa ke kawasan warisan dan mercu tanda, antaranya seperti Pasar Seni, Kuil Sri Kandasawmy dan Rumah Limas.



Malah dengan menggunakan Pas MyCity, pelancong bakal menikmati perjalanan tanpa had menggunakan rangkaian bersepadu keretapi dan Bas Rapid Transit (BRT) milik Prasarana bagi tempoh perjalanan yang singkat,

Pas berkenaan ditawarkan pada harga RM10 sehari untuk perjalanan tanpa had dan RM25 untuk tiga hari, yang mana pembeli pertama kali perlu membayar tambahan RM5 untuk kos kad dan dengan nilai minimum tersedia RM5.

Pengguna boleh mula membeli pas berkenaan pada 25 Disember ini sehingga 31 Disember 2020.

Dengan menggunakan pas MyCity ini juga para pelancong akan mempunyai akses yang lebih baik ke kawasan Lembah Klang dan Selangor, kerana pas tersebut membolehkan mereka menggunakan perkhidmatan keretapi utama.

Pas tersebut juga melengkapi pakej Jejak Makanan Warisan KL kerana ia meliputi tiga kawasan utama tarikan pelancongan di Kuala Lumpur iaitu Kampung Baru, Petaling Street dan Brickfields untuk memaparkan warisan dan budaya makanan Malaysia yang terbaik.

Jejak Makanan Warisan KL dan pas MyCity akan meningkatkan lagi pengalaman pelancongan di ibu kota menggunakan rangkaian bersepadu keretapi dan BRT agar memudahkan pelancong sampai ke tempat-tempat menarik, makanan tempatan dan pusat membeli-belah dengan cara yang paling mudah.

Malah pakej pelancongan unik itu juga diharap dapat meningkatkan ketibaan pelancong untuk Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

Sumber: Bernama

 

Destination: