Jurassic Dinosaur Adventure Park - 'Hutan Dinasour' Dalam Pusat Beli-Belah

June 22, 2022 - 01:10 PM


Tak dinafikan anak-anak kecil terutama lelaki pasti menggemari dinasour dan sering meminta ibu bapa membelikan mereka replika dinasour buat mereka.

Apa kata selain belanja mereka dengan replika, anda bawa mereka untuk 'bermain' sendiri dengan pelbagai spesies dinasour yang ada di Jurassic Dinosaur Adventure Park yang terletak di tingkat 5 pusat beli-belah Pavilion Bukit Jalil.

Taman permainan indoor yang berkonsepkan interaktif itu dibuka di kawasan seluas 1,022 meter persegi dengan dekorasi dalaman seakan hutan purba dengan pelbagai jenis dinasour dipamerkan hampir di segenap ruangnya.

Melangkah masuk ke tempat itu, anda dan anak-anak bakal disambut dengan deretan spesies dinasour yang mengeluarkan bunyi -- selain terdapat maklumat mengenainya bagi membolehkan pengunjung terutamanya kanak-kanak mengenali spesis yang telah pupus itu.

Antara dinosaur yang dipamerkan di situ termasuklah Tyrannosaurus Rex dan Brachiosaurus yang begitu realistik kerana replikanya diperbuat daripada silikon.

Lebih menambah debaran, setiap dinosaur itu bergerak dan mengeluarkan bunyi tersendiri. Tidak hanya kanak-kanak, ibu bapa juga akan teruja melihat replika yang dipamerkan.

Selain melihat replika dinosaur, anak-anak juga berpeluang menunggang dinosaur, bermain kereta api dinosaur, permainan menembak, trampolin, gelongsor gergasi dan sebagainya.

Lebih menarik, pada setiap akhir sesi lawatan -- dinosaur akan dilepaskan bagi memberi peluang kepada pengunjung berinteraksi dan melihatnya dengan lebih dekat.

Setiap sesi di taman permainan itu berlangsung selama 100 minit dengan maksimum 250 pengunjung dibenarkan pada satu-satu masa.

Hanya kanak-kanak berusia 2 tahun ke atas dibenarkan dan mereka mestilah sekurang-kurangnya mempunyai ketinggian 45cm untuk menggunakan gelongsor taman permainan.

Ia dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 9.40 malam sehingga 31 Ogos.

Tiket masuk adalah RM55 seorang pada hari bekerja dan RM60 pada hujung minggu dan cuti umum.

Sumber: Mstar

Destination: