Jurong Bird Park Singapura Lancar Pameran Burung Helang Filipina

November 29, 2019 - 02:30 PM


Sempena ulangtahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua negara, Filipina telah meminjamkan dua ekor burung helang Filipina yang juga merupakan ikon negara berkenaan kepada Singapura untuk dipamerkan di Jurong Bird Park.

Pelancaran pameran ‘The King’s Fiesta’ di Jurong Bird Park baru – baru ini membolehkan pengunjung ke Jurong Bird Park menyaksikan Helang Filipina, salah satu spesis helang yang terbesar dan mempunyai penjang sayap yang boleh mencecah 2 meter.

Selain dipinjamkan, dua ekor helang yang bernama Geothermica dan Sambisig ini merupakan pasangan helang yang pertama dihantar ke luar negara bagi tujuan pembiakan. Untuk pengetahuan, spesis ini hanya tinggal 400 pasang dan ianya diancam kepupusan.

Menurut laporan, kedua-dua helang ini dipinjamkan untuk tempoh 10 tahun dan sekiranya mereka berjaya dibiakkan, anak – anak burung ini akan dipulangkan kepada Filipina. Ini merupakan sebahagian daripada perjanjian konservasi 10 tahun yang dipersetujui oleh kedua-dua buah negara.

Dalam masa yang sama, pameran ini juga boleh membuka peluang bagi memberikan kesedaran terhadap konservasi alam sekitar serta memberikan pendedahan kepada awam tentang kepentingan biodiversity.

 

 

Destination: