Kampung Pangkalan Tiram - Tarikan Pelancongan Baharu Muar

February 23, 2022 - 01:57 PM


Muar yang turut dikenali sebagai Bandar Maharani sarat dengan pelbagai sejarah sebenarnya termasuk mempunyai tarikan terbaharu di Kampung Pangkalan Tiram.

Hanya terletak kurang 1.5 kilometer dari Bandar Muar -- Kampung Pangkalan Tiram antara produk eko pelancongan yang mempunyai keunikan tersendiri.

Meskipun masih belum dilancarkan secara rasmi, lokasi itu kini menjadi tarikan kepada penggemar tiram untuk menikmati kelazatan tiram putih iaitu satu-satunya spesies tiram yang hanya boleh didapati di Sungai Muar.

Orang ramai yang mengunjungi lokasi itu boleh melihat secara dekat aktiviti penduduk setempat menyelam bagi mengutip tiram di dasar Sungai Muar.

Aktiviti menyelam bagi mengutip tiram adalah aktiviti dari generasi ke generasi. Sehingga kini, dijangkakan sudah memasuki generasi ketujuh.

Jika dulu mereka boleh menyelam sehingga 2 jam ke dalam sungai untuk mengutip tiram tetapi kini secara purata hanya 4 minit, bergantung kepada arus air.

Sehingga ke hari ini terdapat kira-kira penyelam tradisional dianggarkan berusia antara 25 hingga 66 tahun yang masih aktif di kawasan itu.

Bagi pengunjung yang ingin melihat secara dekat aktiviti ini, mereka boleh mendapatkan maklumat daripada penduduk setempat.

Aktiviti ini adalah tarikan yang boleh memberi pengalaman baharu kepada pengunjung, cara orang dahulu mengutip tiram.

Keluasan bagi aktiviti menyelam mengutip tiram bermula dari Kuala Sungai Muar sehingga Kampung Belemang iaitu sekitar 16 kilometer.

Tidak sekadar menyaksikan secara langsung aktiviti tradisional itu -- pengunjung juga berpeluang menikmati tiram segar yang dikutip di 'Restoran Terapung Pertama di Sungai Muar' iaitu Restoran D' Tiram Terapung.

Harga yang dikenakan untuk hidangan siap dimasak sebiji tiram itu juga bukan dalam 'kasta kayangan' kerana hanya bermula pada RM6.

Tidak sekadar aktiviti melihat menyelam mengutip tiram secara tradisional dan menikmati juadahnya -- ketika ini pihak komuniti setempat juga memperkenalkan aktiviti bersiar-siar di Sungai Muar.

Dengan bayaran RM20 seorang, pengunjung boleh menikmati aktiviti santai bersiar-siar ke beberapa lokasi terbaik di sepanjang Sungai Muar selama 25 minit.

Jadi apabila anda datang ke Muar, jangan lupa untuk singgah ke destinasi pelancongan baharu ini ek!

Sumber & Kredit Gambar: Harian Metro

Destination: