Kapal Terbang Laut, Tarikan Pelancongan Baharu Di Melaka Tahun Ini

January 12, 2021 - 05:32 PM


Bermula tahun 2021 ini, Melaka yang sememangnya merupakan sebuah negeri kegemaran untuk rakyat Malaysia dan pelancong luar bercuti -- kini bakal memiliki tarikan terbaharu iaitu kapal terbang laut atau ‘seaplane’!

Kapal terbang laut tersebut yang dikatakan berupaya berlepas dan mendarat di air itu merupakan produk keluaran sebuah syarikat di Pulau Pinang serta dijangka berpangkalan di Aerodrome Sungai Rambai, Jasin, Melaka.

Difahamkan, kapal terbang laut itu yang berkonsepkan kapal terbang persiaran akan dibangunkan secara berperingkat dalam tiga fasa.

Fasa pertama, ia akan dijadikan seperti kapal terbang persiaran dengan membawa pengunjung menyusuri pantai-pantai yang ada di negeri Melaka.

Manakala untuk fasa kedua nanti ia bakal dikembangkan operasinya dari pelabuhan ke pelabuhan. Contohnya, kapal terbang laut itu akan bergerak dari Melaka ke pelabuhan Langkawi atau Melaka ke Pulau Pinang, Johor, Klang dan sebagainya.

Seterusnya untuk fasa ketiga, perjalanannya akan diperluaskan ke negara jiran seperti dari Melaka ke Dumai, Acheh, Batam dan Tanjung Balai, Indonesia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, kapal terbang laut dengan nilai pelaburan kira-kira RM500 juta itu dijangka dimeterai pada awal tahun ini.

Aerodrome Sungai Rambai dijangka bakal dijadikan lokasi penyimpanan dan landasan untuk kapal terbang laut itu nanti.

Jelasnya, lokasi tersebut juga akan dijadikan tapak latihan dan terbang uji kapal terbang laut itu, selain merancang untuk membangunkan kilang pembuatannya di Melaka.

Sumber: Melaka Hari Ini

Destination: