KFC 24 Jam Dengan Rekaan Retro 50-an Dibuka Di Klang
Zaman sekarang ini kalau korang nak dapatkan fast food memang dah merata boleh dapat, bermacam-macam jenis. Tapi, bila bercakap tentang ayam goreng dengan pelbagai jenis pilihan hidangan, mesti kita akan terfikir tentang KFC, ataupun orang kita panggil kepci.
Selain daripada hidangan ayam yang pelbagai, KFC juga selalunya dikaitkan dengan memori zaman kanak-kanak ramai orang kerana KFC sering dijadikan restoran pilihan untuk menyambut ulangtahun kelahiran, ataupun korang nak sambut sesuatu, beli je satu KFC bucket, settle!
Kini, KFC tampil dengan cawangan baru yang sangat unik, reka bentuk bertemakan retro yang baru dibuka pada 18 April lalu, di Klang. Cawangan ini bakal memberikan pengalaman makan seperti pada tahun 50-an kepada pelanggan yang datang.
Selalunya bila korang ke KFC, korang akan disambut oleh lakaran muka Colonel Sanders dan tulisan KFC berwarna merah, dan putih. Tetapi di cawangan Bukit Raja, Klang, reka bentuk bangunan tersebut dihiasi dengan tingkap yang mengelilingi bangunan tersebut.
Lebih menarik lagi, pelanggan juga akan disambut dengan satu KFC bucket gergasi di bahagian depan restoran itu, diinspirasikan daripada rangkaian makanan ringan old-school yang terkenal di Amerika Syarikat. Kalau korang memandu di sekitar kawasan Bukit Raja pada waktu malam, mesti korang tak akan terlepas daripada KFC bucket gergasi ini, kerana ianya menyala pada waktu malam.
Pintu masuk juga mengambil konsep reka bentuk retro-- 4 pintu berbentuk oblong kaca.
Walaupun KFC kini lebih terkenal sebagai KFC dan mungkin ramai tidak tahu panjang akronim tersebut, di cawangan retro bukit tinggi, ianya dihiasi dengan tulisan penuh “Kentucky Fried Chicken” berbentuk 3D, berlampu neon.
Hiasan dalaman turut dihiasi dengan tema retro, seperti sofa booth yang direka dengan jahitan berbentuk seperti tempat duduk di dalam kereta lama. Tempat mengambil pesanan tidak petak dan merah seperti cawangan yang lain, di sini tempat pesanan lebih retro dekat rekaan yang lebih 'bulat'.
Sumber foto: Places Malaysia