KL Bakal Miliki Pusat Beli-Belah Pertama Gabung Ciri 'Urban Rooftop Park'

November 03, 2021 - 05:44 PM


Bagi siapa yang datang bercuti ke ibu kota biasanya pasti takkan melepaskan peluang untuk jalan-jalan shopping dan makan-makan kerana begitu banyak pusat beli-belah serta deretan tempat makan best di Kuala Lumpur.

Tetapi korang tahu tak pada suku pertama tahun depan -- Kuala Lumpur bakal memiliki satu lagi tarikan yang wajib korang singgah iaitu Bukit Bintang City Centre (BBCC).

Menariknya BBCC ini merupakan pusat membeli-belah pertama di Kuala Lumpur yang menggabungkan ciri 'urban rooftop park', disatukan dengan ciri landskap bertingkat dan kawasan terbuka.

Ia sekaligus menjadikan suasana makan-makan dan pengalaman membeli-belah korang seperti sedang beriadah atau melakukan aktiviti rekreasi di luar rumah sambil menikmati pemandangan hijau.

Uniknya lagi kalau korang nak tahu, BBCC itu sebenarnya dibina di atas bekas tapak bersejarah Penjara Pudu Kuala Lumpur.

Terletak di Bukit Bintang, Kuala Lumpur -- BBCC pasti menjadi pilihan pengunjung serta pelancong dengan kemudahan akses yang mudah dan selesa melalui perhubungan keretapi dan hab transit yang menghubungkan monorel, LRT Hang Tuah serta MRT Stesen Merdeka.

Pembinaan projek ikonik BBCC itu merangkumi kawasan seluas kira-kira 7 hektar dengan keseluruhan kawasan binaan 6.7 juta kaki persegi.

Selepas dibuka nanti, BBCC turut mempunyai Malaysia Grand Bazaar (MGB) iaitu platform khusus untuk usahawan tempatan baharu memasarkan produk mereka di bawah satu bumbung.

Bahkan para peniaga di MGB turut berpeluang mengeksport produk mereka ke pasaran AS melalui pasaran global seperti Amazon, eBay, etsy dan kedai digital MGB Global.

Inisiatif ini sekaligus membantu para peniaga tempatan mempamerkan produk mereka termasuk seni, kraf dan perdagangan tradisional dan kontemporari yang terkenal di Malaysia ke seluruh dunia.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai Malaysia Grand Bazaar (MGB), layari laman sesawang MGB di https://mgb.my/ atau ikuti perkembangan terbaharu menerusi akaun Facebook dan Instagram.

Sumber: Berita Harian

Destination: