Korang Penggemar 'The Kampung Boy'? Jom Lawat Rumah Dalam Komik Tu Kat Batu Gajah, Perak!

January 11, 2021 - 05:39 PM


Jika korang peminat komik terkenal "The Kampung Boy" lukisan Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat -- korang wajib berkunjung ke 'Rumah Lat dan Galeri' yang terletak di Batu Gajah, Perak.

Ini kerana rumah tersebut adalah benar-benar sama seperti yang digambarkan dalam komik lukisan yang dibina semula di sebuah kampung yang terletak kira-kira 30 minit dari tempat Datuk Lat membesar.

Sepatutnya rumah itu akan dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada bulan Julai tahun lepas, namun disebabkan penularan wabak Covid-19 ketika ini ia terpaksa ditangguhkan sehingga hujung tahun 2020.

Jika berkunjung ke Rumah Lat dan Galeri itu nanti, korang akan merasai sendiri pengalaman kehidupan kartunis terkenal itu yang sebelum ini hanya dapat dilihat di dalam komik sahaja.

Korang juga boleh mengimbau kenangan masa lalu lengkap dengan perabot yang kebanyakannya dari era sebelum Perang Dunia Kedua.

Ini termasuk meja solek, meja makan dan kerusi, cermin dan rak almari asal milik keluarga Datuk Lat yang digunakan untuk menyimpan rekod ketika usianya 19 tahun.

"Masih ingat lagi, saya akan mengunci almari itu kerana rakan serumah akan menyelongkar piring hitam milik saya dan pakai pakaian saya.

"Almari itu adalah antara barang berharga buat saya ketika itu, malah saya berjimat untuk membeli piring hitam dan pakaian kerana saya percaya perlu kelihatan segak pada usia itu," katanya mengimbau kenangan tentang almari kesayangannya itu kepada The Star.



Datuk Lat, 69 tahun memberitahu projek itu adalah sesuatu yang sangat peribadi buat dirinya dan gembira apabila ia turut mendapat sokongan kerajaan negeri Perak dan tidak sabar untuk melihat reaksi pengunjung apabila ia mula dikunjungi oleh orang ramai kelak.

"Saya lukis rumah itu daripada memori saya untuk The Kampung Boy. Apabila anda berusia sembilan tahun, anda akan ingat semua perkara dengan terperinci dan saya ada kenangan cukup baik pada zaman itu.

"Tiada elektrik, air, tetapi untuk seorang kanak-kanak, ia adalah pengalaman cukup berharga apabila membesar di sebuah kampung," katanya.

Mengimbau kenangan menghasilkan The Kampung Boy yang pertama kali diterbitkan pada 1979, Lat memberitahu semuanya bermula ketika dia berkunjung ke Amerika Syarikat.

Ketika di sana, Lat memberitahu ramai masih tidak mengenali Malaysia dan dia ingin mengubah presepsi itu.

Diilhamkan tentang kisah zaman kanak-kanaknya, komik tersebut menceritakan kisah yang terdapat di kampung dan rumah yang digambarkan adalah kediaman sebenar tempat beliau membesar.

Lat berharap Rumah Lat dan Galeri itu dapat berdiri kukuh untuk jangka masa panjang bagi membolehkan generasi akan datang mengenali sejarah dan nostalgia zaman lalu.

Di galeri pula, ia bakal menempatkan karya selama empat dekad Lat sejak 1964 dan kepada yang mengagumi hasil kerjanya, ini adalah lokasi sesuai untuk dikunjungi nanti.

"Saya cukup teruja untuk memberi orang ramai melihat rumah dan galeri ini. Saya rasa ia akan menjadi tarikan baru kepada generasi muda. Sebanyak mana saya menikmati sepanjang menjayakan projek ini, ia bukan untuk saya tetapi masa depan," ujarnya.

Sumber: Mstar

Destination: