Lapangan Terbang Pangkor Beroperasi Semula 22 Januari Tahun Depan

December 10, 2021 - 11:48 AM


Tahun depan 2022, jika anda mempunyai perancangan untuk bercuti ke Pulau Pangkor dan tidak mahu memandu ke sana -- anda boleh menggunakan alternatif pengangkutan iaitu perkhidmatan penerbangan domestik.

Ini kerana pada 22 Januari 2022, Lapangan Terbang Pangkor di pulau berkenaan dijangka bakal beroperasi semula dengan menerima penerbangan domestik secara terus dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

Beliau berkata lapangan terbang berkenaan yang sepatutnya beroperasi pada 1 Disember lepas terpaksa ditunda tarikhnya dan dijangka beroperasi semula pada Januari akan datang.

"Mereka (pengendali lapangan terbang) mempunyai masalah permission (kebenaran) daripada pihak kementerian. Saya juga sudah berbincang dengan pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan persediaan telah dibuat dan mereka boleh menerima pesawat ke lapangan terbang berkenaan.

Kita tiada pengesahan lagi berapa jumlah penerbangan tetapi kemungkinan tiada penerbangan hari-hari dan mungkin empat kali seminggu," katanya.

Dengan adanya kemudahan penerbangan itu nanti ia dilihat mampu membantu dan merancakkan semula industri pelancongan daripada segmen pelancong yang berbeza termasuk pelancong antarabangsa.

"Kesemua operator perhotelan serta pelancongan di Pulau Pangkor sudah bersedia dan kembali beroperasi sepenuhnya menjelang Januari depan.

Malah, mengikut maklumat yang kita terima, sejak 1 Disember lalu, tempat penginapan seperti hotel sudah ditempah sepenuhnya," katanya.

Sumber: Astro Awani

Destination: