Lata Riau & Lubok Jong: 'Hidden Gem' Terbaharu Di Sedim, Kedah Selain Tree Top Walk!

January 30, 2021 - 09:56 PM


Biasanya kalau sebut sahaja Sedim, Kedah pasti ramai yang terbayang mengenai jambatan kanopi terpanjang di dunia iaitu Tree Top Walk yang menjadi tarikan popular kepada pelancong tempatan dan luar negara jika bercuti ke Negeri Jelapang Padi ini.

Tetapi korang jangan tak tahu, walaupun ketika ini kita sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kecuali Sarawak -- namun sebenarnya ada beberapa tarikan pelancongan baharu yang jarang diketahui orang ramai dan menarik untuk dikunjungi selepas Kerajaan membenarkan semula untuk kita semua merentas negeri dan melakukan aktiviti pelancongan.

Tarikan terbaharu yang dimaksudkan adalah Tapak Perkelahan Wan Jong dan Lata Ria, yang mana kedua-duanya terletak berhampiran dengan kawasan Tree Top Walk.

Lepas lama kita terkurung di rumah untuk tempoh yang lama, mesti ramai antara kita yang sudah tidak sabar untuk kembali 'bersahabat dengan alam' serta menghirup oksigen segar sambil mata menikmati kehijauan alam semulajadi yang cukup mendamaikan.

Lagi best, kedua-dua lokasi percutian ini tak memerlukan bajet yang besar pun untuk korang enjoy!

TAPAK PERKELAHAN WAN JONG

Kita mulakan dengan Tapak Perkelahan Wan Jong.

Terletak di Lubok Jong, tapak perkelahan ini dibuka percuma kepada pengunjung.

Namanya diambil sempena batu berbentuk kapal terbalik yang dapat dilihat berada di tengah-tengah sungai.

Baru enam bulan beroperasi, Wan Jong sekarang dalam fasa mengindahkan lagi kawasan bagi keselesaan pengunjung.

Korang boleh saja terus bentang tikar dan mandi manda di lima kolam buatan yang dibentuk di Sungai Sedim.

Batu-batu sungai disusun untuk membuat 5 kolam kecil bagi kemudahan kanak-kanak
Kelihatan pengendali perkhidmatan di Tapak Perkhemahan Wan Jong sedang menyusun batu-batu sungai untuk membuat kolam kecil

Pengendali perkhidmatan membina kolam-kolam semulajadi yang cetek ini untuk membolehkan kanak-kanak dapat berendam dan bermain air dengan selamat.

Orang dewasa yang takut ke bahagian sungai yang dalam pun, boleh mandi di sini.

Bayaran hanya dikenakan sekiranya korang ingin parkir kereta, atau hendak menyewa khemah.

Bayaran parkir kereta RM3, manakala sewa khemah pada harga RM30 bagi satu malam.

Tapi kalau tak nak sewa khemah, boleh juga sewa tapak berbumbung pada harga RM20.

Kawasan lapang untuk pengunjung mendirikan khemah 

Sebuah vila kecil juga disediakan pada harga RM120 bagi 1 malam jika korang inginkan sedikit percutian berkonsepkan privasi yang boleh memuatkan antara 5-6 orang.

Bukan hanya berkelah, korang juga boleh adakan pelbagai aktiviti lain jika memilih untuk bermalam antaranya seperti BBQ, gathering atau team building dalam kumpulan kecil.

Antara pilihan penginapan lain adalah vila ini yang berharga RM120 semalam.
Vila Boleh Memuatkan 5-6 Orang

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, korang boleh menghubungi pengendali perkhidmatan di situ iaitu  Muhammad Affan Che Mansor di talian 017-381 0734.

LATA RIAU

Sementara itu, tidak jauh dari Tapak Perkelahan Wan Jong atau kira-kira 1 kilometer -- mungkin ramai yang tidak sedar adanya satu lokasi yang hanya boleh dijejaki melalui laluan pejalan kaki.

Lata Riau, terletak kurang 500 meter sebelum korang sampai di Tree Top Walk yang menjadi tarikan utama di Hutan Lipur Sungai Sedim.

Sebenarnya, kawasan ini dibuka kepada orang awam tanpa sebarang bayaran. Namun, ia jarang dikunjungi kerana laluannya yang tersembunyi.

Korang perlu menjejak laluan trek Gunung Bintang sejauh hampir 1 kilometer untuk sampai di Lata Riau.

Percayalah, kepenatan mendaki trek ini amat berbaloi apabila dapat melihat pemandangan yang cukup indah.

Pengendali Perkhidmatan: Muhammad Affan Che Mansor

Suasana yang nyaman, air yang sejuk tanpa pencemaran menjadikan ianya 'permata tersembunyi' disebalik pelbagai lagi tarikan menarik di sekitarnya.

Bagi korang yang baru pertama kali hendak menjejakkan kaki ke Lata Riau, korang dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat dari pengendali operasi tapak perkelahan di kawasan sekitar atau Tapak Perkelahan Wan Jong.

Mereka lebih arif tentang laluan ini, dan boleh membantu korang merancang perjalanan naik dan turun dengan selamat.

Jadi korang boleh saja menghubungi pengendali perkhidmatan yang sama dengan Tapak Perkelahan Wan Jong iaitu Muhammad Affan Che Mansor di talian 017-381 0734.

P/S: Lokasi menarik ni nanti bolehlah korang share dulu dengan kawan-kawan atau ahli keluarga untuk percutian lepas tamat PKP dan bila kes penularan COVID-19 semakin pulih nanti. Apa-apa pun tak salah kan kita berangan dulu, bercuti kemudian. Bak kata omputih "Dream Now, Travel Later"...hehehehe