Lepas 3 Tahun Dibaikpulih, Menara Jam Big Ben London Muncul Semula!

September 29, 2020 - 12:28 PM


Bila sebut tentang London pasti ramai yang mengidamkan ia sebagai destinasi percutian yang mesti dikunjungi paling tidak pun sekali seumur hidup.

Lebih teruja bila dapat membayangkan berjalan-jalan dalam cuaca sejuk di lokasi ikonik London seperti Sungai Thames, London Bridge dan Istana Buckingham yang tersergam indah.

Mungkin ada yang kecewa apabila melancong ke London beberapa tahun lepas kerana tidak dapat melihat menara jam dunia iaitu Big Ben London kerana ianya sedang menjalani kerja-kerja baik pulih.

Namun ada satu berita gembira iaitu dalam tempoh beberapa minggu lagi, perancah di menara jam ikonik berkenaan akan diturunkan secara berperingkat dan Big Ben bakal diperlihatkan semula kepada orang ramai setelah 3 tahun berlalu.

Sebelum ini, jam yang dipasang di Menara Elizabeth itu menjalani proses baik pulih yang menelan kos jutaan dolar dan fasa kritikal untuk kerja-kerja pemuliharaan telah pun hampir selesai.

Kerja-kerja baik pulih membabitkan kawasan luar dan dalam menara dengan sekumpulan pakar menghabiskan masa berminggu-minggu untuk memastikan perincian hiasan sesuai dengan reka bentuk asal yang dihasilkan pada 1859.

Bagi korang yang tak tahu, Menara Big Ben merupakan sebahagian Tapak Warisan Dunia UNESCO dan merupakan menara jam terbesar di dunia dengan ukuran jam berdiameter hampir 7.5 meter.

Apa yang menarik, jam di Big Ben tidak pernah rosak sepanjang hayatnya dan semasa perang dunia kedua, walaupun bangunan di sekeliling Big Ben rosak akibat dibom, menara jam ini kekal berdiri megah tanpa sebarang kerosakan. Hebat kan? 

Tak sabarnya nak tunggu pandemik COVID-19 pulih dan pintu sempadan antarabangsa kembali dibuka untuk kita melancong ke luar negara. 

Sumber: Bernama

Destination: