Lubuk Pahala! Bas Mini Dijadikan Surau Bergerak!

May 23, 2022 - 11:32 AM


Seorang peniaga kendera saji di sini teruja apabila hasratnya mewakafkan sebuah bas sekolah mini untuk dijadikan surau bergerak tercapai dengan bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu yang memberi khidmat pelesenan dan undang-undang.

Yusuf Hadi Al Hafidz Sapai, 41, yang juga Pengerusi Terengganu Food Truck berkata beliau membeli kenderaan terpakai itu pada harga RM8,000 daripada seorang kawan untuk diubah suai menjadi kendera saji namun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 menyebabkan aktiviti perniagaannya terhenti.

"Selepas berbincang bersama rakan peniaga lain, akhirnya saya memutuskan mahu mengubah suai bas sekolah mini itu menjadi surau bergerak.

"Hasil sumbangan orang ramai, proses ubah suai dengan kos hampir RM40,000 ini berjaya direalisasikan dan saya berterima kasih kepada JPJ Terengganu kerana berjaya mendaftarkannya secara sah di bawah kod badan Bas Perkhidmatan Bergerak mengikut peraturan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima Lesen Kenderaan Motor untuk bas mini surau bergerak itu yang disampaikan Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim sempena majlis sambutan Aidilfitri JPJ Terengganu di sini hari ini.

Surau bergerak itu dilengkapi pendingin hawa, tempat wuduk, ruang imam, lampu, jam waktu solat serta bumbung bagi ruangan solat pada bahagian luar kenderaan yang mampu menampung 19 jemaah dalam satu masa.

Sementara itu, Zailani dalam sidang medianya berkata JPJ sedia membantu mana-mana pihak atau individu untuk mengubah suai kenderaan menjadi surau bergerak seperti mana dilakukan Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ Terengganu sebagai tanggungjawab sosial mereka.

-- BERNAMA

Destination: