'Lumpur Bebuak' - Kawah Gunung Berapi Aktiviti Wajib Cuba Jika Bercuti Ke Limbang, Sarawak!

November 05, 2021 - 12:50 PM


Tahun depan, pasti ramai yang memilih untuk terbang bercuti ke sebelah Borneo jika keadaan semasa penularan wabak COVID-19 semakin pulih.

Jika anda merupakan salah seorang yang memilih Bumi Kenyalang sebagai destinasi pelancongan domestik pada tahun 2022, apa kata jika anda bercuti ke sebuah daerah di Sarawak yang tak kurang hebatnya seperti di Kuching iaitu LIMBANG.

Limbang sebenarnya terletak di timur laut Sarawak dan menariknya di sini ada pelbagai tarikan pelancongan yang jarang didapati di tempat lain dan aktiviti wajib anda harus cuba adalah berendam dalam 'lumpur bebuak' yang keluar dari perut bumi di Kampung Meritam, Limbang.

Kawah lumpur gunung berapi yang dikenali sebagai 'lumpur bebuak' di Kampung Meritam ini sememangnya sudah terkenal dalam kalangan masyarakat setempat sebagai 'pusat perubatan semula jadi'.

Meskipun belum ada kajian saintifik dilakukan terhadap lumpur yang licin, likat dan suam -- namun kawah lumpur berkenaan telah mencetuskan fenomena dan keunikan tersendiri sehingga kawasan pedalaman ini menjadi tumpuan pelancong.

Kewujudan 'lumpur bebuak' telah menyebabkan Kampung Meritam yang terletak kira-kira 40 km dari pusat bandar Limbang, tidak sunyi daripada dikunjungi pelawat.

Sehinggakan sebelum pandemik COVID-19 melanda negara, hampir 300 pelawat berkunjung ke Kampung Meritam setiap hari hanya untuk menikmati 'rawatan lumpur bebuak', yang dikatakan boleh menjadi terapi menenangkan minda dan sesuai sebagai 'masker' untuk dilumur pada muka dan anggota badan selain dapat mengubati penyakit kulit.

Bagi fasa endemik, lokasi tarikan pelancongan itu sudah sedia untuk dibuka semula dan menerima kehadiran pelancong dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ditetapkan bagi mencegah COVID-19.

Malah, Limbang juga kini sedang rancak membangunkan pelbagai produk pelancongan baharu dengan kebanyakannya dijadualkan siap tahun depan.

Antaranya ialah Projek Limbang Waterfront secara berfasa, terletak di tengah-tengah bandar sepanjang hampir 2 kilometer yang menelusuri pesisir Sungai Limbang adalah tarikan terbaharu daerah ini dengan pelbagai produk pelancongan seperti inap desa dan perahu tambang pelancong, bakal disediakan.

Limbang Waterfront ini berhadapan dengan penempatan tepi sungai masyarakat Melayu yang akan dijadikan sebagai produk inap desa dengan pelbagai aktiviti untuk dinikmati pelancong selain restoran makanan laut.

Uniknya, projek berfasa Limbang Waterfront akan menghubungkan laluan ke Taman Rekreasi Tasik Bukit Emas, seterusnya ke Taman Sukan Ekstrem Limbang yang juga sedang dibina selain Bukit Hitam dan bakal menyajikan keindahan flora dan fauna.

Bukan itu sahaja, malah bagi menarik pelancong bagi mendekati sendiri keistimewaan budaya etnik masyarakat di Limbang, homestay atau produk inap desa bakal diwujudkan.

Terdapat kira-kira 24 peserta inap desa daripada pelbagai etnik iaitu Bisaya, Iban, Kedayan, Melanau, Lun Bawang, Tabun, Kelabit dan Penan sedang dipersiapkan untuk tujuan itu.

Bagi pelawat yang gemarkan keindahan alam, anda juga boleh mengunjungi Jeti Santaba di Kampung Patiambun, sepanjang lebih satu kilometer untuk menyelusuri kawasan hutan paya bakau yang menjadi habitat spesies Monyet Belanda (proboscis) dan kelip-kelip pada waktu malam.

Sumber: Bernama

Destination: