Masjid Sri Sendayan - Binaan Yang Mengagumkan Seperti Taj Mahal!
Pernah tak korang berangan-angan nak pergi ke Taj Mahal? Masjid Sri Sendayan yang terletak di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan ini dapat menjadi penawar sekiranya korang masih belum berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Taj Mahal.
Digelar dengan nama Taj Mahal Malaysia dan juga Masjid an-Nabawi Malaysia, masjid yang terletak hanya kira-kira dua puluh minit sahaja dari bandar Seremban ini merupakan masjid kedua yang diwakafkan oleh Tan Sri Abd Rashid Hussain, pengasas kepada RHB Bank.
Masjid yang dibina pada tahun 2015 ini bukan sahaja menjadi tempat solat bagi orang-orang sekitar, bahkan ia juga merupakan lokasi tarikan pengunjung, akad nikah dan juga wedding photoshoot dek kerana kecantikan seni binanya yang sangat cantik dan tidak lepas mata memandang. Dikatakan, pembinaan masjid ini telah memakan kos sehingga lebih RM100 juta dan seni binanya dibawa dari luar negara seperti Mesir, Turki dan Dubai. Tidak hairanlah mengapa masjid ini sentiasa didatangi ramai pengunjung dari pelbagai negeri dan nagara!
Masjid ini juga turut dilengkapi kawasan parkir kenderaan yang luas, bilik kuliah, dewan serba guna, bilik pengurusan jenazah, dewan makan dan banyak lagi. Sudah cantik, besar pula, Masjid Sri Sendayan ini juga dikatakan dapat menampung sehingga lima ribu orang jemaah pada satu masa.
Ada yang dah aim masjid ini sebagai lokasi akad nikah ke tu? Jangan lupa booking tempat dan ambil nombor giliran dulu ya!