Maya Bay Bakal Terima Semula Pelancong Dengan Bersyarat Pada Tahun 2022!

TARIKAN
November 17, 2021 - 04:53 PM


Mesti ramai rindukan percutian di Thailand kan? Mana tidaknya Thailand yang dikenali dengan pelbagai tarikan pelancong plus kos yang tidak terlalu mahal. Baru baru ini, pihak berkuasa Thailand telah mengumumkan pembukaan semula teluk di Pulau Phi-phi yang cukup terkenal!

Teluk di Pulau Phi Phi itu ditutup untuk orang ramai 3 selama tahun.Teluk Maya atau Maya Bay ini boleh dikatakan destinasi pelancongan yang amat terkenal seluruh dunia selepas ‘viral’ gara-gara filem lakonan Leonardo DiCaprio berjudul ‘The Beach’ pada tahun 2000.

Menurut Jabatan Taman Negara Thailand, teluk itu akan kembali dibuka untuk dilawati oleh orang awam pada 1 Januari 2022.

Tidak seperti destinasi pelancongan yang lain yang terpaksa ditutup gara-gara pandemik, penutupan teluk ini pada Jun 2018 adalah untuk ‘memulihkan’ semula terumbu karang yang ada di kawasan ini yang difahamkan terjejas teruk kerana kehadiran pelancong yang terlampau ramai.

Menurut laporan CNN, teluk ini menerima hampir 5000 orang pengunjung dalam satu hari pada tahun 2018, dan secara tidak langsung kedatangan pelancong yang terlalu ramai ini telah merosakkan alam sekitar selain terumbu karang yang paling teruk terkesan.

Syarat Baru Pembukaan Maya Bay

Menurut Jabatan Taman Negara Thailand lagi, walaupun teluk itu akan dibuka sepenuhnya kepada orang awam, ada beberapa peraturan baharu akan diperkenalkan dalam usaha mereka memastikan ekosistem kawasan berkenaan kembali pulih.

Antaranya syarat yang dikenakan termasuklah :

  1. Bot tidak dibenarkan masuk ke kawasan teluk
  2. Penumpang perlu diturunkan di kawasan jeti baharu yang disediakan dibelakang pulau, bukan di kawasan teluk yang penuh dengan terumbu karang.
  3. Hanya 8 buah bot dibenarkan berlabuh pada satu-satu masa
  4. Lawatan atau masa untuk berada di teluk berkenaan dihadkan kepada 1 jam
  5. Maksimum 300 orang pengunjung sahaja dibenarkan pada satu masa
  6. Masa lawatan disingkatkan, hanya dari 10 pagi hingga 4 petang setiap hari

Difahamkan, perancangan asal hanya menutup kawasan ini selama empat bulan, namun ianya terpaksa dilanjutkan selama 2 tahun bagi proses penanaman semula terumbu karang selain menambahbaik infrastuktur yang ada untuk para pelancong.

Selain itu, aktiviti snorkeling pula difahamkan hanya boleh dilakukan di kawasan yang ditetapkan sahaja manakala kawasan persisiran pantai sepanjang teluk adalah kawasan larangan. Namun, pengunjung yang ingin menikmati keindahan pantai tersebut boleh berbuat demikian dari atas bot sahaja.

Sumber: LobakMerah

Destination: