Menara KL & Menara Alor Setar Beri 'Frontliners' Masuk Percuma Hingga 16 Sept

August 17, 2020 - 05:29 PM


Adakah korang salah seorang daripada petugas barisan hadapan atau mungkin ahli keluarga dan rakan-rakan korang ada yang bergelar 'frontliners' sewaktu negara sedang berdepan pandemik COVID-19?

Jika ya, korang adalah petugas yang layak mendapatkan tawaran percuma untuk mengunjungi Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar, selama sebulan yang bermula semalam (17 Ogos 2020)!

Bagi mendapatkan tiket masuk percuma bersempena promosi 'Untukmu Wiraku', korang hanya perlu menunjukkan dokumen kerja yang sah ketika pembelian tiket di kaunter.

Jika korang datang bersama ahli keluarga atau rakan-rakan, mereka juga bakal menerima sedikit tawaran diskaun -- yang mana pengiring pertama dan kedua dikenakan bayaran RM10 setiap seorang manakala pengiring ketiga serta seterusnya hanya dicaj separuh harga daripada harga asal RM71 dewasa dan RM36 kanak-kanak.

Promosi istimewa ini tidak mempunyai kuota terhad pengunjung dan ia boleh digunakan selagi promosi berjalan sehingga 16 September depan.

Kemasukan percuma kedua-dua menara ikonik negara itu diberikan khas kepada petugas barisan hadapan sebagai hadiah kepada mereka yang telah berkorban masa, tenaga, kesihatan dan keselamatan demi mengatasi pandemik.

Mereka termasuklah barisan frontliners warganegara Malaysia yang berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Tawaran istimewa berkenaan juga dijangka akan turut diberikan kepada petugas barisan hadapan yang lain seperti penghantar makanan dalam kempen yang akan datang.

Sumber: Harian Metro

Destination: