Mesin Jahit Antik Kurniaan Sultan Johor Jadi Koleksi Terbaharu Muzium Mersing

January 26, 2021 - 01:53 PM


Jika selepas aktiviti pelancongan dibenarkan semula oleh Kerajaan dan korang merancang untuk bercuti ke Mersing, Johor -- jangan lupa untuk singgah ke muzium mereka dan melihat sendiri koleksi terbaharu di sana yang berupa sebuah mesin jahit antik berusia lebih 40 tahun!

Mesin jahit ini bukan sembarangan bahan pameran kerana ia dianugerahkan sendiri oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar kepada Muzium Mersing yang dirasmikan Baginda pada Mei 2016.

Menurut catatan di Facebook rasmi Baginda, Sultan Ibrahim telah bertitah supaya mesin jahit tersebut ditempatkan di muzium berkenaan untuk dipamerkan kepada pengunjung.

Mesin jahit antik milik wanita berusia 90 tahun itu, dipersembahkan oleh anak wanita tersebut, Choo Ming Hooi, 62, kepada Baginda, di Istana Flintstones semalam (25 Jan).

Baginda juga telah meluangkan masa meneliti mesin jahit antik tersebut.

“Saya amat menghargai kesungguhan pemiliknya yang mahu menunjukkan mesin jahit antik itu kepada saya.

“Mesin itu sudah tidak lagi digunakan kata pemiliknya, kerana ia sebuah barangan antik maka boleh disimpan di Muzium,” titah baginda menerusi hantaran itu.

Sementara itu, Choo yang menetap di Mersing berkata, mesin jahit antik tersebut dipersembahkan kepada Baginda yang diketahui amat gemar mengumpul barangan antik, dan turut mempunyai pelbagai simpanan koleksi, setelah dinasihati oleh seorang rakan karibnya.

“Pada mulanya, saya bercadang untuk membuang sahaja mesin jahit itu kerana tidak berfungsi serta tidak lagi digunakan oleh ibu. 

“Namun, seorang rakan karib memberitahu bahawa mesin jahit ini sangat antik dan turut berpeluang untuk menunjukkan barangan itu kepada Sultan Johor,” katanya. 

Kredit: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Destination: