Meskipun Status Hagia Sophia Dah Tukar Menjadi Masjid, Tapi Jangan Risau Si Bulus 'Gli' Kekal Di Situ!

July 28, 2020 - 10:54 AM


Dengan ribuan pengikut di Instagram dan turut diminati oleh salah seorang bekas Presiden Amerika Syarikat, Gli -- seekor kucing, hampir terkenal seperti kediamannya iaitu Hagia Sophia.

Namun dengan keputusan untuk menukar status muzium itu kepada sebuah masjid, warga Turki tertanya-tanya sama ada Gli juga perlu berpindah - satu soalan yang timbul setiap hari di agensi berita tempatan dan media sosial.

Kucing berwarna kelabu dan bermata hijau itu menjadi kegemaran para pengunjung, termasuk bekas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, yang dirakam membelainya semasa satu lawatan pada 2009.

Pihak berkuasa turut menegaskan bahawa Hagia Sophia akan terus menjadi 'kediaman' Gli.

Jurucakap Presiden Turki Tayyip Erdogan, Ibrahim Kalin berkata, Gli dan kucing-kucing lain di kawasan itu dibenarkan terus tinggal di sana.

"Kucing itu sudah menjadi sangat popular dan terdapat beberapa lagi kucing yang belum popular. Kucing itu akan terus berada di sana dan kucing-kucing lain juga dibenarkan di masjid ini," katanya.

Kenyataan itu sudah tentu menggembirakan Umut Bahceci, seorang pemandu pelancong yang juga individu yang bertanggungjawab membuka akaun Instagram Gli, empat tahun lalu. Akaun tersebut dipenuhi dengan gambar-gambar kucing tersebut.

"Setiap kali saya ke sana (Hagia Sophia) saya akan melihat Gli bergambar seperti model," katanya kepada Reuters.

"Saya turut mendapat pesanan daripada pengunjung seperti 'Gli, kami akan ke Istanbul untuk menemui anda'. Kata-kata seperti ini amat menyenangkan," katanya. 

Sumber: Berita Mediacorp Sg

Baca artikel terdahulu: Jom Kenali Gli, 'Penghuni Tetap' Di Hagia Sophia!

 

Destination: