Mini Zoo Di Kuantan Ada Rumah Hobbit Dan Dinosaur!

March 28, 2022 - 11:10 AM


Mini Zoo Taman Teruntum telah lama ditubuhkan dan menjadi salah satu lokasi tumpuan dan sering dikunjungi pengunjung terutamanya warga Kuantan, Pahang. Walaupun mini zoo ini tidaklah sebesar zoo-zoo yang lain, tetapi ia mampu memberi keseronokan dan kepuasan kepada anak-anak untuk mengenal haiwan disamping mempunyai pelbagai aktiviti-aktiviti menarik.

Bagi menarik kunjungan orang ramai, Mini Zoo Taman Teruntum telah ditransformasikan dan berubah wajah menjadi sebuah zoo hibrid pertama di Malaysia bahkan didakwa turut menjadi yang pertama di dunia. Konsep yang menarik telah diterapkan yang mana menggabungkan haiwan hidup dengan haiwan animatronik prasejarah seperti dinosaur yang pasti menarik minat kanak-kanak.

Antara haiwan yang terdapat di Mini Zoo Teruntum ini adalah seperti Seladang, Ular, Arnab, Buaya, Kuda Padi, Burung Enggang, Rusa, Burung Unta, Burung Merak dan banyak lagi. Selain dapat melihat haiwan-haiwan, anak anda juga berpeluang untuk menunggang kuda padi dan memberi makan kepada haiwan-haiwan disini.

Di bahagian Dinosaur Encounter pula ia dimulakan dengan aktiviti tayangan tiga dimensi dinosaur, disusuli dengan cabaran permainan dinosaur dan pembelajaran mengenai haiwan prasejarah itu. Para pengunjung pasti merasa teruja apabila menelusuri dunia dinosaur yang seakan-akan hidup dan berpeluang untuk sesi fotografi sepuasnya bersama puluhan ‘makhluk’ prasejarah itu . Buat masa sekarang, sebanyak 32 dinosaur animatronik ditempatkan di Mini Zoo Taman Teruntum ini.

Selain tarikan haiwan hidup dan haiwan animatronik, terdapat juga Hobbit House yang menarik untuk anda kunjungi. Disini juga menyediakan kemudahan kedai, tandas, kawasan parkir yang luas, dan taman permainan kanak-kanak untuk keselesaan para pengunjung. Rancang perjalanan anda bagi menikmati percutian yang menggembirakan.

​Waktu Operasi : 9 am – 6 pm (Setiap Hari)

Harga Tiket:

  • Dewasa – RM25
  • Kanak-Kanak – RM22

Alamat : Mini Zoo Taman Teruntum, Jalan Padang Golf 25050 Kuantan, Pahang, Malaysia

Sumber: lokasipercutian.com

Destination: