Morten Walk - Port Makan Baru Berkonsep Kabin Yang Trendy & Moden Di Melaka

January 26, 2022 - 04:15 PM


Jika sebut bercuti ke Melaka pasti ramai yang dah membayangkan asam pedas, coconut shake dan pelbagai lagi makanan sedap serta viral lain.

Mana tidaknya apabila ramai orang dari Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor suka berkunjung ke Melaka yang popular antara 'syurga makanan' di negara kita!

Tidak lama lagi, Melaka bakal memiliki satu lagi port makan berkonsepkan trendy dan moden di persisiran Sungai Melaka yang diberi nama "MORTEN WALK".

Hab Keusahawanan Morten Walk yang terletak di Kampung Morten ini bakal menyediakan 100 ruang niaga merangkumi lot tetap berupa kabin kontena berhias cantik dengan konsep ceria serta lot terbuka untuk promosi.

Sebanyak sembilan kemudahan tambahan serta lot terbuka yang boleh menempatkan aktiviti promosi seperti ruang pameran, pesta makanan, pesta buah-buahan, pesta kebudayaan dan kesenian, mini konsert serta pusat riadah kanak-kanak.

Selain daripada itu, Morten Walk juga mempunyai sebuah dewan tertutup berkapasiti 500 orang juga untuk disewa dan dibuka kepada orang ramai bagi mengadakan pelbagai majlis seperti kenduri kendara.

Ruang niaga yang disediakan sesuai bagi pelbagai jenis perniagaan seperti makanan, minuman, fesyen, aksesori, kedai serbaneka, kedai IT dan sebagainya.

Dibangunkan di atas tanah berkeluasan 4.13 ekar dengan nilai pembangunan RM8 juta, Hab Keusahawanan Morten Walk terletak di lokasi utama di Bandar Melaka berdekatan dengan pelbagai tarikan menarik yang terkenal seperti Perkampungan Tradisional Kampung Morten, Jambatan Kampung Morten, Melaka River Cruise dan Menara Taming Sari.

Morten Walk dijangka bakal beroperasi pada bulan April ini. Jadi sama-sama kita nantikan pembukaan rasminya nanti!

Sumber: Harian Metro

Destination: