Mural 7 Perdana Menteri Malaysia Tarikan Baharu Jika Bercuti Ke Terengganu

February 13, 2020 - 02:29 PM


Kalau korang ada plan bercuti atau jalan-jalan ke Negeri Terengganu, jangan lupa untuk singgah bergambar di hadapan mural potret hitam putih wajah 7 Perdana Menteri Malaysia yang baharu sahaja siap dan kini menjadi tarikan pengunjung.

Mural tersebut boleh korang jumpai di dinding bangunan paling lama di Terengganu iaitu Dewan Tunku Abdul Rahman, yang telah berusia 47 tahun lamanya!

Dewan Tunku Abdul Rahman yang dihiasi mural wajah PM Malaysia

Potret itu terdiri daripada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak dan wajah terbaharu Perdana Menteri ketika ini, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kesemua lukisan wajah ini disiapkan hanya dalam tempoh 28 hari oleh 4 anak jati Terengganu diketuai Raja Badruddin Hakim Shah Raja Kamarul Bahrin (Ku Bad); Wan Ansri Nizam Wan Ismail (Obi Wang); Zulkarnain Abd Latif (Joe Janggot) dan Mohd Fahmi Abdullah Sani (Moc).

3 daripada 4 orang pelukis mural 

Kalau korang perhatikan, mural yang paling tinggi ialah potret Perdana Menteri ke empat, Tun Mahathir Mohamad yang terletak di kedudukan paling tengah iaitu lebih 10 meter.

Manakala menurut pelukisnya, potret yang paling mencabar untuk disiapkan ialah potret Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj yang mengenakan tengkolok bersongket.

Idea untuk menghiasi dewan itu dengan mural 7 Perdana Menteri dicetuskan oleh Datuk Bandar Kuala Terengganu sendiri iaitu Shahidan Embok.

Jadi kalau korang ke sana, bolehlah ambil gambar kenangan bersama pemimpin negara sebagai simbolik penghargaan jasa mereka yang telah sama-sama membangunkan Malaysia hingga ke hari ini.

Sumber: Berita Harian

 

 

 

Destination: