Musim Tengkujuh, Rumah Bot Tasik Kenyir Jadi Tumpuan Pelancong!

November 12, 2019 - 03:44 PM


Terengganu memang terkenal dengan pulau-pulau peranginan yang sering menjadi destinasi percutian pengunjung dari dalam dan luar negara.

Namun disebabkan musim tengkujuh bakal tiba menjelang hujung tahun ini, kebanyakan pusat peranginan di negeri tersebut telah mula menghentikan operasi dan tidak lagi menerima kehadiran pelancong.

Justeru itu, pelancong kini didapati mula memilih Tasik Kenyir di Hulu Terengganu sebagai lokasi percutian mereka terutamanya bagi kaki pancing.

Menurut Bernama, pengusaha rumah bot di tasik ini mula tersenyum lebar apabila ramai pelancong menempah rumah bot mereka untuk tempoh dua bulan iaitu November dan Disember.



Seorang pengusaha rumah bot, Ramli Mustafa, 54, memberitahu bahawa Tasik Kenyir yang terkenal sebagai lubuk ikan air tawar akan menjadi tumpuan dalam kalangan kaki pancing kerana kebiasaannya pelbagai spesis ikan akan bertambah dengan banyak pada musim tengkujuh.

Katanya kebanyakan tempahan yang diterima adalah daripada kaki pancing yang datang secara berkumpulan untuk melepaskan 'gian' memburu ikan air tawar seperti Sebarau, Kelah, Temoleh, Baung, Lampan dan Belida.



Menariknya setiap kali pada musim tengkujuh, Tasik Kenyir bagaikan pesta kerana ramai kaki pancing yang turun berkampung di sini untuk menghabiskan cuti akhir tahun mereka.

Ketika ini, Terengganu mengalami Monsun Timur Laut yang bermula sejak 24 Oktober lepas dan dijangka berterusan sehingga Mac 2020 yang menyebabkan beberapa episod hujan lebat melanda negeri itu sepanjang tempoh tersebut.

Istimewanya Tasik Kenyir ialah pelancong akan benar-benar menikmati makna sebenar percutian kerana di sini, privasi mereka cukup terjaga dan menjanjikan pengalaman yang cukup manis untuk dikenang.



Selain pakej pelancongan yang ditawarkan pengusaha rumah bot, kerajaan negeri juga tidak ketinggalan mempromosikan tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara itu dengan penganjuran ‘Asean Monsoon Casting Tournament’ yang akan berlangsung pada 29 November hingga 2 Disember depan.

Ia adalah acara tahunan yang dianjurkan kerajaan negeri setiap kali musim tengkujuh yang dijangka dapat menarik lebih 300 penyertaan termasuk peserta dari luar negara seperti Indonesia, Thailand, Korea, Singapura dan Brunei.

 

Destination: